Majlis perasmian Selangor Creative Economy Expo 2025 (SCEE25) mencipta sejarah apabila DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, menggunakan teknologi realiti maya (VR) sebagai simbolik pelancaran. Gimik unik ini menggambarkan pertemuan antara tradisi, inovasi dan kreativiti, sekali gus melambangkan kesediaan Selangor untuk menghadapi cabaran ekonomi masa depan dengan berpaksikan kreativiti serta teknologi baharu.
Detik tersebut menjadi sorotan utama acara, apabila Tengku Permaisuri Selangor tampil berinteraksi dalam dunia maya di hadapan para tetamu, menzahirkan mesej jelas bahawa Selangor kini bersedia memimpin transformasi ke arah ekonomi kreatif yang lebih inklusif dan progresif.
Sebelum acara perasmian terlebih dahulu berlangsung sesi Townhall CRE8Policy bersama YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri. Dalam sesi penuh interaksi itu, YB Najwan berdialog dengan komuniti kreatif, menjawab persoalan serta membentangkan hala tuju kerajaan negeri dalam menjadikan industri kreatif sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi.

Beliau menegaskan bahawa ekonomi kreatif tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai cabang seni atau hiburan. Sebaliknya, ia kini menjadi sektor penting yang menjana pekerjaan bernilai tinggi, memperkukuh daya saing negeri, memacu inovasi, serta membina identiti global Selangor di pentas antarabangsa. Menurut beliau, sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor dianggarkan sekitar RM8 hingga RM10 bilion pada tahun 2022, dan dengan pelaksanaan pelan tindakan baharu ini, angka tersebut dijangka berganda menjelang 2035 dengan sasaran mencapai RM20 bilion.
Townhall tersebut juga menjadi ruang terbuka buat pemain industri berkongsi cabaran dan pandangan, termasuk tentang keperluan infrastruktur yang lebih mantap, sokongan pembiayaan, dan strategi memperluas pasaran. YB Najwan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan dasar yang digubal bersifat inklusif, progresif dan mampu menyokong ekosistem kreatif secara menyeluruh.
Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor yang diumumkan sepanjang acara ini merupakan pelan jangka masa 10 tahun yang dirangka untuk menjadikan Selangor sebagai hab kreatif serantau. Ia menekankan pertumbuhan kreatif yang mampan melalui inovasi dan peluang eksport, memperkukuh penyertaan bakat tempatan melalui akses kepada platform kreatif, serta memastikan warisan budaya negeri terus dipelihara sebagai aset identiti yang bernilai.
Lebih daripada itu, pelan ini turut menggariskan enam pemangkin utama iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses kepada pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, peluasan akses pasaran, dan tadbir urus yang mantap. Kesemua aspek ini dilihat mampu mewujudkan ekosistem kreatif yang lengkap, dari pencipta idea sehingga kepada pengkomersialan produk di pasaran global.

Sebagai wadah penggerak, SCEE25 menjadi platform utama untuk mempertemukan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk penggiat industri, pelabur, agensi kerajaan dan usahawan kreatif. Ekspo ini menampilkan pelbagai pengisian seperti forum dan bengkel dasar, pameran interaktif melalui CRE8Stage, platform pemadanan perniagaan CRE8Biz Xchange, serta pelancaran CRE8Fund, iaitu dana mikro untuk menyokong syarikat pemula kreatif.
Kemeriahan dua hari acara ini turut dipenuhi dengan sesi rangkaian dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), sekali gus membuka laluan kepada kerjasama strategik merentas industri. Semua ini menjadi bukti bahawa kreativiti kini bukan lagi sekadar seni, tetapi pemacu ekonomi yang sebenar bagi Selangor.
Dengan gabungan visi yang jelas, strategi pembangunan menyeluruh dan sokongan penuh daripada pelbagai pihak, pelancaran SCEE25 dan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor menandakan permulaan era baharu. Negeri ini kini berada di landasan kukuh untuk melahirkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan daya saing global, dan memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kreativiti dan inovasi serantau menjelang tahun 2035.



