KOTA BHARU, – Negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung kini menjadi tumpuan baharu Tourism Sabah apabila agensi itu melancarkan Sabah & Labuan Meet East Coast Roadshow 2025, dengan matlamat menarik lebih ramai pelancong domestik dari Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk melancong ke Sabah dan Labuan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Program yang berlangsung di Kota Bharu pada 21 September dan Kuantan pada 23 September itu menghimpunkan 15 pemain industri pelancongan Sabah dan Labuan termasuk agensi pelancongan, pengusaha hotel serta persatuan pelancongan bagi menjalin kerjasama baharu dengan rakan niaga Pantai Timur.
Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar berkata langkah ini penting untuk memperluas tawaran pakej pelancongan domestik serta membuka laluan baharu perjalanan rentas negeri.
“Dengan permintaan yang semakin meningkat dan sokongan penerbangan yang sedia ada, kami berharap lebih banyak syarikat penerbangan akan melihat potensi besar pasaran Pantai Timur,” katanya.
Menurut data Lembaga Pelancongan Sabah, dari Januari hingga Julai 2025, Sabah menerima 2.1 juta pelawat peningkatan 20.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi utama pelancongan domestik dan antarabangsa.-SUARA.TV



