SHAH ALAM, – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, hari ini berkenan memaklumkan bahawa anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz, pada 2 Oktober 2025 bersamaan 10 Rabi’ul Akhir 1447H.
Istiadat Pernikahan Diraja itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Dato’ Hj. Mohamad Munir Bani, Istiadat Persandingan Diraja serta Majlis Santapan Diraja akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober 2025.
Bagi memohon kelancaran dan keberkatan istiadat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menganjurkan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di seluruh masjid negeri pada 25 September 2025. Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor turut dijadualkan berangkat ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam, bagi menghadiri majlis doa selamat tersebut.



