ALOR SETAR, 15 Sept – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu akan tetap menjamin hak serta kepentingan semua kaum sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negara ini, memetik laporan MalaysiaGazette.
Dalam ucapan dasarnya sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Hadi menekankan bahawa komitmen parti adalah berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dengan pentafsiran Islam yang sebenar (al-din).
“Percayalah hanya Islam yang sempurna, adil dan membawa rahmat mampu menyatukan masyarakat majmuk dalam keadaan harmoni serta selamat. Maka inilah janji PAS kepada rakyat bukan Islam,” ujarnya.
Hadi menegaskan bahawa Islam mendahulukan keamanan serta persaudaraan, bahkan menolak paksaan dalam beragama walaupun berada dalam kedudukan kuasa penuh.
Beliau turut menambah, kewajipan seorang pemerintah dalam Islam adalah berlaku adil kepada semua lapisan rakyat, termasuk bukan Islam. Malah, menurutnya, Islam memberi ruang kepada penganut agama lain mengamalkan ajaran mereka selagi tidak menjejaskan sensitiviti umat Islam.
“Islam juga menuntut umatnya menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, termasuk dalam hal berkaitan akidah ketuhanan,” katanya lagi.



