Oleh Zihan Zari
SUNGAI LANG – Lebih 500 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, warga Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) seluruh Malaysia meriahkan Karnival Harta Intelek PolyCC 2025 (IP@PolyCC’25) di Dewan Seri Lang, Sultan Idris Shah (PSIS), dekat sini baru-baru ini.
PSIS dalam kenyataan berkata, karnival ini bukan sahaja wadah perkongsian ilmu, malah sebagai medan interaksi yang merapatkan hubungan antara pelajar, pendidik, industri dan agensi berkaitan.
IP@PolyCC’25 bertemakan ‘Eksplorasi Harta Intelek, Pemacu Kecemerlangan Inovasi’ dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan & Inovasi (PPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta PSIS.
“Karnival ini menjadi platform berprestij dalam memperkukuh kesedaran masyarakat, khususnya warga PolyCC dan pelajar sekolah mengenai kepentingan harta intelek sebagai aset bernilai tinggi yang wajar dilindungi dan dimanfaatkan sebaiknya.
“Kehadiran mereka membuktikan minat tinggi generasi muda terhadap bidang inovasi dan kepentingan harta intelek dalam dunia moden,”kata kenyataan itu.
“Antara pengisian utama karnival termasuk Forum Kesedaran Harta Intelek, Bengkel Daftar IP melalui bas bergerak MyIPO, Pameran Inovasi & Kreativiti, Pameran Agensi, serta Pertandingan Inovasi PolyCC yang menerima 97 penyertaan melibatkan pelajar sekolah dan PolyCC.
“Majlis perasmian turut menyaksikan penyerahan Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) kepada rakan-rakan industri kolaborasi PSIS dalam usaha memperluas jaringan kerjasama akademia-industri, ”katanya.
Katanya lagi, karnival yang berlangsung selama dua hari dari 8 pagi hingga 5 petang, terbuka kepada semua pelajar, warga PolyCC serta masyarakat umum, menjadi platform strategik bagi memperkukuh budaya inovasi, pemindahan teknologi dan pemeliharaan hak cipta dalam kalangan komuniti pendidikan dan masyarakat.
Majlis perasmian penutupan Karnival IP@PolyCC’25 telah disempurnakan oleh Pengarah PPI, JPPKK, Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin.
Yang turut hadir, Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid, dan Timbalan Ketua Pengarah (Komersial) MyIPO, Dr. Kamarul Faizal Hashim.-SUARA.TV



