Matrikulasi Tidak Perlu Dimansuhkan — Fadhlina

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menegaskan bahawa matrikulasi tidak perlu dimansuhkan, kerana sistem itu bersama dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf secara rasmi dan memenuhi kriteria merit masuk Universiti Awam (UA). Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kedua-dua laluan prauniversiti ini sudah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan mempunyai peranan yang penting dalam memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi. 

Beliau memberikan kenyataan itu selepas merasmikan Kongres Prauniversiti MADANI 2025 Peringkat Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal.

Menurut Fadhlina, walaupun terdapat tuntutan supaya hanya STPM dijadikan piawaian tunggal bagi masuk ke UA, matrikulasi juga mempunyai kelebihan tersendiri. 

“Saya mengikuti debat dan juga perbincangan itu (memansuhkan matrikulasi), cuma saya ingin nasihatkan supaya ia tidak keterlaluan, dan juga maksudnya dalam aspek STPM dan matrikulasi ini telah pun berada dalam sistem pendidikan kita begitu lama. Kedua-duanya ada keistimewaan masing-masing dan juga memenuhi merit untuk masuk ke universiti awam, malah KPM dalam masa sama memberi komitmen penuh untuk terus menambah baik berdasarkan pandangan serta cadangan yang diterima dari semasa ke semasa,” katanya. 

Fadhlina juga menyatakan bahawa KPM memberi perhatian bukan sahaja kepada aspek akademik, tetapi juga kebajikan pelajar dalam matrikulasi dan STPM. Perubahan dan penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat demi memastikan kedua-dua sistem ini terus relevan dan disokong oleh rakyat.

Beliau menegaskan, “Jangan kita bertelagah dalam isu-isu yang tidak mendatangkan apa-apa kerana kedua-dua-nya ketika ini adalah program sokongan penuh kepada pendidikan, akses pendidikan anak-anak kita.”

Kenyataan itu dibuat selepas timbul desakan daripada beberapa pihak agar matrikulasi dimansuhkan kerana dianggap tidak berlandaskan merit penuh berbanding STPM. Kritikan itu berulang kali timbul sejak beberapa tahun lalu dengan alasan sistem kuota matrikulasi memberi kelebihan kepada sesetengah kumpulan.

Sebaliknya, ada pihak yang berhujah bahawa matrikulasi membuka lebih banyak ruang akses ke pendidikan tinggi, terutama bagi pelajar luar bandar. Oleh itu, perdebatan sama ada matrikulasi perlu diteruskan atau digantikan sepenuhnya dengan STPM kembali mencetuskan kontroversi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat