Cyberjaya – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan beliau menerima ugutan melalui e-mel berkaitan video lucah palsu yang kononnya memaparkan dirinya bersama seorang lelaki.
Menurut Rafizi, e-mel tersebut menuntut bayaran sebanyak USD100,000 bagi mengelakkan video berkenaan disebarkan. Malah, ugutan itu disertakan dengan screen shot video kabur serta kod QR untuk pemindahan wang.
“Yang kelakar, setengah jam kemudian saya terima mesej dari YB Wong Chen (Ahli Parlimen Subang). Dia juga diugut dengan video lucah melibatkan lelaki yang sama,” kata Rafizi dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.
Beliau menjelaskan, video tersebut dipercayai menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan) untuk mengubah wajah, selain menyifatkan taktik itu bertujuan untuk menggodam peranti elektronik miliknya.
Rafizi turut berkongsi bahawa beliau telah menerima empat amaran rasmi daripada Apple mengenai cubaan serangan siber yang disifatkan sebagai “mercenary spyware” dalam tempoh sembilan bulan.
“Apple memberi amaran bahawa serangan ini sofistikated, seperti spyware Pegasus daripada firma perang siber Israel, NSO Group,” jelas beliau.
Menurut Rafizi, serangan sebegini berpunca daripada pendirian politiknya yang lantang membongkar rasuah dan menentang kepentingan tertentu.
“Saya percaya cubaan memfitnah dengan video palsu, berita palsu dan serangan godaman akan berterusan. Kalau dapat video atau gambar pelik mengenai saya, sila semak dahulu,” katanya.
Rafizi menegaskan bahawa kehidupan sebagai ahli politik bukanlah mudah, khususnya bagi mereka yang berpegang pada prinsip serta berani mencabar pihak berkepentingan.



