KUALA LU MPUR – Setiausaha Politik Menteri Kewangan (merangkap Perdana Menteri ) Kamil Munim dakwa, Pas berdiam diri dalam isu anggota polis dicederakan.
Peliknya kata Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari, media-media bukan milik Pas boleh pula petik kenyataan bahawa Pas rakam simpati kepada anggota polis berkenaan.
“Pejabat Perdana Menteri perlu kakitangan yang lebih rajin membuat analisa sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Saya bimbang, Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan berdasarkan akaun TikTok palsu pun mendapat ‘nasihat kurang matang’ daripada pasukan media yang kurang cekap,” tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Fadhli berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berkata, individu mendatangkan kecederaan langsung tidak disentuh dan dikecam, berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Pas itu.
Semalam Fadhli berkata, Pas menzahirkan simpati dan solidariti penuh kepada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa berdepan kesusahan mendadak akibat pengosongan berkenaan.
Dalam pada itu, simpati turut dirakamkan kepada seorang anggota polis yang dilaporkan cedera ringan dalam kekecohan tersebut.



