CYBERJAYA : Sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang kini berada di Sicily, Itali, sedang membuat persiapan terakhir sebelum berlayar ke Gaza, Palestin. Pelayaran dijadual bermula dari Sirakusa, dan semua bot akan diperiksa serta diselia dengan teliti sebelum bertolak.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar berkata, peserta Malaysia sudah berada di dalam bot masing-masing dan sudah berkenalan dengan kapten serta kru mereka. Beliau memaklumkan bahawa sesi pelepasan “flag‐off” akan berlangsung di Sirakusa pada jam 2 petang waktu Itali, setelah semua persiapan selesai.
“Insya-Allah, doakan agar pelancaran dan pelepasan bot beberapa jam sahaja lagi akan berjalan lancar. Amin Ya Mujib,” kata beliau melalui hantaran di Facebook.
Salah satu bot, Fair Lady, yang merupakan antara kapal yang menyertai misi kemanusiaan GSF dari Itali, dijadual berlepas dari pelabuhan Catania setelah beberapa kali ditunda. Pengarah Media MCM, Tuan Asri Tuan Hussein berkata, senarai penumpang telah hampir dimuktamadkan.
Hampir 14 sukarelawan dari Malaysia bersama lebih 100 peserta antarabangsa kini menanti arahan untuk memulakan pelayaran ke Gaza. Harapan besar dipikul agar misi ini mampu memecahkan tembok tentera Israel dan menyampaikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.



