Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menjemput orang ramai menyaksikan Pameran Perkahwinan Malaysia yang akan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada 12 hingga 16 September ini.
Pameran ini merupakan sebahagian daripada Festival Budaya Malaysia 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang meraikan kepelbagaian warisan budaya negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Para pengunjung berpeluang melihat sendiri keunikan majlis perkahwinan, pakaian pengantin dan barangan hantaran tradisional yang menjadi simbol adat dan identiti setiap komuniti yang mengetengahkan warisan perkahwinan enam etnik utama iaitu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan Dusun dan Siam.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, setiap budaya yang kita warisi adalah cerminan nilai dan jati diri bangsa.
“Apabila kita saling memahami, menghormati dan menerima perbezaan, maka lahirlah keharmonian yang menjadi kekuatan sebenar Malaysia.
“Inilah semangat Malaysia MADANI yang harus terus kita semarakkan, ”katanya dalam kenyataan.
“Kementerian berharap penganjuran pameran ini bukan sahaja memberi
pengalaman unik kepada pengunjung, malah menanam rasa kebersamaan, mengukuhkan persefahaman.
“Di samping itu, memperteguh ikatan rakyat pelbagai kaum demi pembinaan negara bangsa yang harmoni dan sejahtera, ”katanya lagi .-SUARA.TV



