KUALA LUMPUR – Nama usahawan dan pempengaruh media sosial popular, Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, sekali lagi mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025 bagi kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya.
Khairul Aming mengakui penghargaan itu datang tanpa dijangka, apatah lagi beliau disenaraikan sebaris dengan tokoh-tokoh besar dalam sambutan kali ini.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua usahawan di luar sana, terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil yang baru belajar berniaga, berniaga di tengah-tengah panas, di tengah-tengah hujan. Itu semua sebahagian daripada usaha mereka mencari rezeki yang halal. Jadi anugerah ni saya tujukan pada mereka,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, keberhasilan dalam perniagaan bukan hanya diukur dengan angka keuntungan, tetapi juga berlandaskan keberkatan serta hubungan baik bersama pelanggan.
Khairul Aming turut menambah bahawa beliau akan terus menggunakan kekuatan media sosial sebagai ruang untuk memperkenalkan produk usahawan kecil kepada masyarakat yang lebih luas.



