Cyberjaya – Mesyuarat agung tahunan MIC peringkat negeri terus mencuri perhatian apabila usul keras terhadap kepemimpinan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi semakin mendapat sambutan.
Selepas Kedah dan Pulau Pinang, giliran MIC Wilayah Persekutuan pula meluluskan usul mendesak agar parti itu keluar daripada gabungan BN.
Dalam ucapan semalam, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, S Rajah, secara terbuka mempersoalkan kewibawaan Zahid yang didakwa gagal mempertahankan kedudukan parti komponen dalam kerajaan perpaduan.
“Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan Ramanan (naib presiden PKR) diberi tanggungjawab mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek yang melibatkan kuil dan sekolah Tamil.
Apakah MIC tidak layak untuk tugas ini sedangkan parti ini mempunyai sejarah lebih 79 tahun?” katanya seperti dipetik laporan Malaysiakini.
Rajah turut berpendapat Ahmad Zahid seharusnya menggunakan kedudukan sebagai timbalan perdana menteri untuk berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar portfolio hal ehwal masyarakat India diserahkan kepada MIC.
Sebaliknya, dakwa Rajah, Zahid memilih berdiam diri.
“Malah, kamu lebih berminat dengan rakan-rakan baru dari PH. Maka, apa salahnya jika MIC keluar BN dan menentukan hala tuju sendiri,” ujarnya.
Pada 21 Ogos lalu, Anwar melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican mengumumkan bahawa Ramanan – yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi – dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India serta merangka inisiatif baharu bagi masyarakat tersebut.
Dalam mesyuarat itu, lebih 400 perwakilan yang hadir dilaporkan sebulat suara menyokong usul agar MIC meninggalkan BN. Turut hadir adalah Presiden MIC, SA Vigneswaran, dan timbalannya M Saravanan.
Bagaimanapun, Rajah menegaskan MIC Wilayah Persekutuan tetap menghormati keputusan akhir pucuk pimpinan parti.
Sebelum ini, MIC Kedah dan Pulau Pinang turut menyatakan kesediaan menyokong langkah meninggalkan BN.



