KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati, kebocoran yang berlaku susulan pengkhianatan lima pegawai tentera yang tergamak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan hanya membabitkan maklumat peringkat taktikal.
Dapatan awal itu dikenal pasti Lembaga Siasatan Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) yang dibentuk ATM pada Selasa lalu, bagi menyiasat tahap kebocoran maklumat terbabit.
Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, berkata siasatan lembaga itu memfokus kepada penilaian segi keselamatan dan pentadbiran susulan penahanan lima pegawai kanan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 13 Ogos lalu.
Beliau menegaskan, maklumat membabitkan operasi dan strategik ketenteraan negara ini masih terpelihara.
Katanya, keselamatan negara tidak tergugat langsung dan pihaknya bertindak pantas menangani kes itu termasuk memindahkan semua pegawai terbabit ke cawangan lain, berkuat kuasa serta-merta hingga siasatan kes itu selesai.
“ATM mengambil berat isu penahanan lima pegawai kanan kami yang ditahan kerana disyaki membocorkan maklumat ketenteraan negara dengan menubuhkan lembaga siasatan di bawah MDIO pada Selasa lalu khusus bagi kenal pasti hal berkaitan kebocoran maklumat keselamatan kerana kita tidak mahu kes sama berulang.
“Setakat ini, kebocoran berlaku hanya membabitkan maklumat pada peringkat taktikal sahaja dan bukannya operasi atau strategik. Kita juga sudah memberi taklimat perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin lalu,” lapor BH pada Jumaat.
Pada 13 Ogos lalu, Bahagian Perisikan dan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) SPRM menahan 10 individu, terdiri lima pegawai kanan ATM, dua wartawan yang juga bekas tentera serta tiga orang awam, termasuk seorang warga Indonesia dalam Ops Sohor bermula 6.30 pagi.
Lima pegawai kanan ATM itu terdiri seorang berpangkat Kolonel, tiga Leftenan Kolonel dan seorang Kapten. Tiga daripada mereka adalah pegawai perisikan aktif dengan MDIO. Dua wartawan yang ditahan juga adalah bekas bekas pegawai perisikan organisasi sama.
Mereka disyaki terbabit membocorkan maklumat mengenai pergerakan anggota keselamatan kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga ke Johor dan memperoleh ganjaran kewangan atau rasuah daripada pengkhianatan itu.
Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini membabitkan dadah dan rokok serta barangan lain dari negara jiran membabitkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan.
Hasil risikan dijalankan selama 12 bulan oleh SPRM mendapati, sindiket dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali menyeludup masuk barangan itu.
Rangkaian pembabitan pegawai kanan tentera itu dalam sindiket berkenaan adalah besar dan kompleks. Dalam serbuan, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras serta senjata api tiruan.
Sementara itu, mengulas tindakan undang-undang ketenteraan oleh ATM ke atas lima pegawai kanan terbabit, Mohd Nizam berkata, sebarang kesalahan dilakukan mereka mengikut undang-undang awam juga adalah kesalahan kepada pihak tentera, tetapi pihaknya tidak boleh menjalankan dua siasatan serentak.
“Kita tak mahu berlaku ‘double jeorpady’ (seseorang disiasat dua kali bagi kesalahan sama). Jadi, kita serahkan dulu kepada SPRM dan polis menyiasat kes itu.
“Kes ini adalah terpinggir, tetapi kita mengambil serius isu ini dan mengambil langkah perlu untuk memastikan keselamatan negara terus terpelihara sepanjang masa,” katanya.



