Sanusi mahu Kedah dibenar hasilkan benih padi sendiri

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi kelonggaran kepada negeri ini untuk menghasilkan benih padi sendiri bagi menangani kekurangan bekalan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata para petani di negeri itu sudah sekian lama berdepan isu bekalan benih padi yang menjejaskan hasil tanaman mereka.

“Sesuai dengan Kedah ini sebagai pengeluar padi utama negara, selepas bertahun-tahun para pesawah di negeri ini berhadapan dengan ketiadaan benih padi, ada benih tapi tak cukup, benih tak tumbuh dan isu kekurangan benih bersubsidi.

“Jadi alangkah baik diberi sedikit kelonggaran, walaupun kita ada peraturan dan undang-undang dan agensi yang menguatkuasakan varieti benih padi sah untuk tanaman, tapi kita perlu juga mengiktiraf kebijaksanaan dan pengalaman tempatan yang telah bergelumang dengan sawah padi ini puluhan tahun,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar lapor Bernama pada Khamis.

Terdahulu, DUN Kedah meluluskan usul Pelaksanaan Program Pembiakbakaan Tanaman Padi oleh Komuniti yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Sanusi berkata kerajaan negeri kini menjalankan projek rintis penyemaian benih padi seluas 20.5 hektar di Kampung Sungai Mati, Tobiar, Pendang.

Projek itu masih dalam tempoh kajian sebelum hasilnya dikemukakan kepada KPKM untuk pertimbangan agar Kedah boleh menghasilkan benih padi sendiri.

“Diharapkan benih yang dihasilkan dapat menampung kekurangan bekalan dan memberi hasil lebih baik. Projek rintis ini bukan untuk mencabar sesiapa, tetapi bertujuan menampung kekurangan dalam sistem sedia ada,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat