KUALA LUMPUR — Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan menganjurkan Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 edisi kedua pada 15 November depan di Padang Merbok, Kuala Lumpur dengan tema “Berlari Sambil Menyumbang”.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, acara tersebut bukan sahaja berperanan sebagai aktiviti riadah, malah menjadi platform kebajikan untuk mengumpul dana membantu kira-kira 1,000 anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa akibat pandemik COVID-19.
“Setiap sumbangan melalui yuran penyertaan akan disalurkan menerusi Bantuan Kasih, melibatkan bantuan bulanan RM200 bagi anak-anak berusia 16 tahun ke bawah, manakala RM250 bagi pelajar 16 tahun ke atas sehingga tamat pengajian ijazah pertama di institusi pengajian tinggi,” katanya selepas meninjau laluan LKM 2025 di Padang Merbok baru-baru ini.
Beliau berkata, selain bantuan bulanan, penerima turut memperoleh dua bantuan one-off setiap tahun iaitu Bantuan Persekolahan atau Bantuan Menara Gading dan Bantuan Perayaan, masing-masing berjumlah RM300.
Menurutnya, YKM memerlukan kira-kira RM5 juta setahun bagi memastikan bantuan itu dapat disalurkan secara berterusan sehingga anak-anak terbabit dewasa.
“LKM 2025 adalah manifestasi solidariti kita membantu anak-anak yatim yang masih trauma dengan kehilangan akibat pandemik meskipun sudah tiga tahun berlalu.
“Selain itu, penganjuran ini turut menggalakkan gaya hidup sihat selari dengan agenda Malaysia Sihat serta aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan kebersamaan,” katanya.
Ismail Sabri turut menyeru syarikat-syarikat korporat agar tampil sebagai penaja, sekali gus memperkukuh peranan sektor swasta dalam agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Acara itu menyasarkan penyertaan 3,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, dengan menawarkan tiga kategori utama iaitu Road Race 10km (RM89, early bird RM70), Fun Run 5km (RM69, early bird RM50) dan Family Run 3km(RM49, early bird RM40).
Pendaftaran awal dibuka sehingga 31 Ogos ini menerusi laman rasmi checkpointspot.asia.
Setiap sumbangan korporat kepada LKM 2025 juga layak menerima pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Selain berlari sambil menyumbang, peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang disediakan.



