Putrajaya, – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang ramai agar menghentikan penggunaan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan racun berjadual berbahaya kepada kesihatan.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan, produk “JC Beauty Culture Radiance Renewal Serum” telah dikesan mengandungi hidrokuinon dan tretinoin, manakala “The Perfect Derma Cream” pula mengandungi miconazole bahan yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik tanpa pengawasan pakar.
Berikutan pengesanan bahan-bahan berbahaya tersebut, notifikasi kedua-dua produk telah dibatalkan serta-merta oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, sekali gus tidak lagi dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.
Produk Kosmetik Bahan Racun Berjadual:
1. JC Beauty Culture Radiance Renewal Serum Hidrokuinon, Tretinoin
2. The Perfect Derma Cream Miconazol
Menurut KKM, penggunaan hidrokuinon dan tretinoin tanpa pemantauan boleh menyebabkan kulit menjadi merah, iritasi, sensitif terhadap cahaya matahari serta risiko gangguan kesihatan lain. Miconazole pula adalah ubat antikulat yang hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk berhenti menggunakan produk-produk ini serta-merta dan mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan. Orang ramai juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di portal rasmi NPRA di www.npra.gov.my.
Orang awam yang masih menemui produk berkenaan dijual secara fizikal atau dalam talian diminta untuk melaporkannya kepada KKM.



