KUALA LUMPUR – Pemuda Umno Terengganu mempertikaikan sikap oportunis AMK Terengganu dalam mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk penjelasan yang tuntas daripada rakan Perpaduan negeri terlebih dahulu.
Setiausaha Pemuda Umno Terengganu Ahmad Abaidillah Ariffin mempersoalkan apakah AMK Terengganu memilih bulu dalam menyatakan pendirian?
Kata beliau, setakat hari ini tiada satu kenyataan rasmi AMK Terengganu terhadap individu yang menterbalikkan Jalur Gemilang.
“Adakah kerana individu tersebut disokong kuat oleh pimpinan DAP menyebabkan kalian membisukan mulut dan memekakkan telinga?
“Apakah rakyat boleh menerima sikap prejudis DAPSY dan AMK dalam menguruskan setiap isu yang berbangkit?
“Ataupun tindakan tersebut sebenarnya bersandarkan “political brotherhood sentiment” dalam koalisi Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Tambah Ahmad Abaidillah lagi, lebih mengecewakan ianya dikeluarkan selepas kenyataan rasmi telah dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Terengganu dan Ketua Pemuda Umno.
Malahan katanya, pihak PDRM terus melaksanakan siasatan sejurus menerima laporan berkaitan kekhilafan teknikal paparan Jalur Gemilang di laman rasmi Pemuda Umno Terengganu.
“Ini menunjukkan bahawa Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh dan seluruh anggota kepemimpinan Pemuda Umno tidak pernah bertindak hipokrit dan double standard sekiranya melibatkan kesalahan dalam isu berkenaan.
“Sikap keterbukaan ini menggambarkan bahawa Pemuda Umno tidak pernah berkompromi kepada sesiapa sahaja sekiranya didapati bersalah,” katanya.



