Malaysia tak akan tunduk tekanan ancaman tarif AS, tetap bela Gaza – Anwar

KUALA LUMPUR – Malaysia bertegas tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan termasuk ancaman tarif tinggi daripada Amerika Syarikat (AS) hanya kerana pendirian tegas dalam membela Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai negara merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak akan mengubah pendirian dalam menyuarakan ketegasan dan pandangan.

Tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan, negara masih mempunyai tempoh berunding dengan beberapa pertimbangan besar yang diharapkan mampu membuahkan hasil yang baik.

“Benar, kerana kelantangan Presiden Brazil menyerang AS soal genosid di Gaza maka dikenakan 50 peratus tarif. Kita belum dalam rundingan terakhir.

“Dalam rundingan ada beberapa pertimbangan…yang besar kerana semikonduktor dan cip, sebab pengeluaran kita 60 peratus ke AS.

“Tapi disebaliknya AS juga perlukan cip dan semikonduktor dari Malaysia sebanyak 25 peratus daripada keperluan AS. Kita doakan dapat diselesaikan dengan baik.

“Apa pun kesan, ugutan atau bantahan AS dalam soal pendirian kita soal Palestin, Gaza atau hubungan baik kita dengan Iran, itu tidak akan merubah pendirian tegas kita sebagai negara merdeka dan berdaulat menyuarakan pandangan kita,” katanya sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang mahu tahu adakah Malaysia sedia kompromi sekiranya ketegasan dan kelantangan Malaysia akan diambil kira oleh AS yang mungkin mengenakan tarif tinggi terhadap negara ini.

Ia memandangkan, Malaysia konsisten tegas dan lantang dalam melawan puak Zionis dan membela hak Palestin, bahkan kelantangan Malaysia jauh lebih tinggi banding negara-negara Asia Tenggara.

Syed Saddiq turut memberikan contoh tarif yang dikenakan AS terhadap Brazil.

Terdahulu Mohd Sany Hamzan (Amanah- Hulu Langat) juga meminta Perdana Menteri menyatakan apakah pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.

Menjawab soalan tersebut, Anwar berkata, Malaysia secara konsisten menggunakan pelbagai platform antarabangsa untuk menyuarakan bantahan terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel.

“Dari segi Malaysia tentu saya terbuka nasihat ahli-ahli Parlimen, apa lagi yang kita perlu lakukan adalah daripada segi kelantangan suara dan bantuan hampir semua (platform) kita sudah suarakan.

“Jadi kita perluaskan tapi tuntutan ini masih belum memberi kesan yang diharapkan, pembunuhan, keganasan masih diteruskan yang kita perlu lakukan kita sudah lakukan.”Irael satu-satunya negara pengganas di dunia ini yang nampak melakukan jenayah genosid dan keganasan tanpa disekat kerana didokong AS,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat