KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melabur sebanyak RM30 juta dalam separuh pertama 2025 untuk menambah baik pengalaman penumpang secara keseluruhan dan meningkatkan kecekapan operasi di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1), menandakan naik taraf lapangan terbang utama pertama oleh kumpulan itu sejak penswastaannya pada Februari lalu.
Pengurus Besar Operasi KLIA T1 Abd Hasman Abd Muhimim berkata, dengan pelaksanaan 14 penambahbaikan dan ciri baharu, MAHB berharap dapat meningkatkan skor Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) KLIA serta memperbaiki kedudukannya dalam penarafan Skytrax.
Beliau berkata, penambahbaikan itu juga merupakan sebahagian daripada persediaan MAHB untuk menerima kemasukan penumpang yang dijangka meningkat ke KLIA, selaras dengan Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Untuk penambahbaikan ini, kami tidak menetapkan had bajet. Kami akan terus melabur dalam usaha menaik taraf semua kemudahan di KLIA.
“Ini amat penting kerana dalam separuh pertama tahun 2025, KLIA mencatatkan 30.1 juta penumpang, peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” lapor Bernama.
Wakil media turut diberi taklimat mengenai penambahbaikan yang telah dilaksanakan di KLIA sepanjang sesi berkenaan.
Antara naik taraf utama yang memberi tumpuan kepada kelajuan pemprosesan dan pengurangan kesesakan, MAHB telah melaksanakan sistem penurunan beg terbuka secara konsep percubaan (proof-of-concept) yang terdiri daripada lima unit daftar masuk mudah alih, mampu mengendalikan sehingga 10 kali lebih banyak bagasi setiap jam berbanding kaunter konvensional.
Di pusat pemeriksaan keselamatan domestik, lorong-lorong telah dikonfigurasi semula dengan dulang yang lebih panjang serta kawasan khusus untuk membongkar dan membungkus semula barang, meningkatkan kapasiti daripada 770 penumpang sejam kepada 1,569 penumpang sejam, dengan purata masa menunggu kini kurang daripada lima minit.
Bagi perlepasan antarabangsa, sembilan lorong imbas pas masuk sendiri baharu telah menggantikan enam kaunter manual.
Lorong-lorong ini dilengkapi dengan arahan digital langkah demi langkah untuk mempercepatkan proses dan mengurangkan barisan menunggu.
Dua kaunter imigresen lorong keutamaan turut diperkenalkan untuk keluarga bersama anak kecil, warga emas, ibu mengandung dan individu kurang upaya.
MAHB turut meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan dengan mengatur tiga pasukan paramedik menggunakan e-skuter, lengkap dengan tangki oksigen, kit trauma dan alat ‘automated external defibrillator’ (AED), yang ditempatkan di terminal utama dan bangunan satelit.
Bagi meningkatkan keselesaan dan kebolehcapaian penumpang, 5,000 troli telah digantikan dengan model ringan tanpa tali yang dilengkapi dengan brek untuk pengendalian yang lebih selamat.
Selain itu, 54 petak letak kereta telah diubah suai menjadi 36 petak mesra keluarga yang lebih luas dan terletak lebih dekat dengan pintu masuk terminal.
Untuk memperbaiki kebolehcapaian, 80 tandas awam telah dinaik taraf dengan pintu masuk lebih luas, singki bertap automatik dan butang panggilan kecemasan, manakala 100 kerusi roda baharu kini tersedia untuk kegunaan percuma di kawasan utama penumpang.
Dua bilik menukar lampin bertema, lengkap dengan katil bayi, pemanas air dan kawasan penyusuan, turut dibuka, dengan tiga lagi dijadual siap pada Ogos.
MAHB juga memperkenalkan elemen kebudayaan di KLIA, termasuk dua mural besar di Pier H dan G yang menampilkan unsur warisan dari Pulau Pinang dan Melaka, bagi memperkayakan persekitaran penumpang dengan ciri tempatan.
Kanak-kanak kini boleh menikmati taman permainan bertemakan orang utan yang dipasang di Pintu C30 di bangunan satelit.



