KUALA LUMPUR, – Kenyataan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, yang mengaitkan persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dengan tekanan politik disifatkan sebagai bermotif politik dan bukan berasaskan krisis perundangan dan institusi kehakiman.
Menurut Peguam Adzly Ab Manas, yang juga Peguambela dan Peguamcara serta Ketua Biro Perundangan dan Pilihan Raya UMNO Bahagian Sungai Buloh, keputusan untuk tidak menyambung kontrak Ketua Hakim Negara selepas mencapai usia persaraan wajib adalah selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Perlembagaan dan Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan lanjutan maksimum enam bulan selepas had usia bersara, tetapi itu adalah budi bicara bukan hak automatik. Maka tidak timbul isu pelanggaran undang-undang,” katanya.
Adzly menegaskan bahawa sistem kehakiman negara kekal berfungsi sepenuhnya walaupun berlaku kekosongan dalam jawatan tertinggi tersebut. Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, Ketua Hakim Malaya, telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Hakim Negara bermula 3 Julai 2025 untuk menjalankan tugas dan kuasa jawatan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa pemangkuan jawatan Ketua Hakim Negara bukanlah sesuatu yang luar biasa atau luar jangka. Perkara yang sama pernah berlaku selepas persaraan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada 2007. Kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara juga pernah berlaku selepas persaraan Tun Richard Malanjum pada 2019 sementara menunggu pelantikan rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Tiada krisis institusi. Proses pelantikan sedang berjalan, hakim kanan masih menjalankan tanggungjawab, dan pentadbiran keadilan tidak terganggu,” ujar beliau.
Mengenai gesaan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta dakwaan wujud campur tangan politik dalam proses pelantikan, Adzly menegaskan bahawa sebarang dakwaan sebegitu perlu disandarkan kepada fakta dan bukan persepsi semata-mata.
“Gesaan sebegini perlu datang bersama bukti konkrit. Tanpa asas yang jelas, ia hanya menimbulkan keresahan awam dan menghakis keyakinan terhadap institusi kehakiman,” tambahnya.
Ditanya mengenai keputusan Majlis Peguam yang akan mengadakan perarakan mengenai isu ini, Adzly menyatakan tindakan tersebut dijamin di bawah Perlembagaan sebagai sebahagian daripada kebebasan bersuara.
Namun beliau berpendapat Majlis Peguam sebagai badan tertinggi mewakili profesion guaman seharusnya mengambil pendekatan yang lebih elegan dan matang.
“Sebagai badan tertinggi para peguam, Majlis Peguam sepatutnya berunding secara tertib dengan pemegang taruh seperti Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, atau Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Itu lebih selari dengan kedudukan mereka dalam sistem undang-undang negara,” katanya.
Tun Tengku Maimun menamatkan perkhidmatan pada 2 Julai lalu selepas hampir enam tahun sebagai Ketua Hakim Negara, menjadikannya antara penyandang terlama dalam sejarah jawatan tersebut. Tan Sri Hasnah, yang kini memangku jawatan itu, telah mengetuai Mahkamah Tinggi Malaya sejak November 2024.
Adzly berkata pelantikan rasmi Ketua Hakim Negara adalah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri dan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Proses ini dijangka selesai dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Adzly mengingatkan kerajaan hal ini tidak boleh dibiar berlarutan terlalu lama kerana ia boleh menimbulkan kecurigaan politik terutama melibatkan banyak kekosongan jawatan hakim di Mahkamah Persekutuan.
“Saya tidak fikir isu ini bermula dengan motif politik. Namun jika terlalu lama tergantung tanpa penjelasan, ia boleh menjadi polemik politik. Rakyat tidak boleh dibiarkan tertanya-tanya di bawah sana,” tegas Adzly.



