KUALA LUMPUR – Kerajaan menghormati pandangan semua pihak berkaitan Titah Addendum bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu terbabit masih dalam urusan mahkamah.
“Tak apa dan (addendum masih) urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah. (Biar) urusan mahkamah.
“Pandangan masing masing, kita hormati tapi (harus) ikut proses,” katanya selepas solat Jumaat di Putrajaya, lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Umno memohon titah tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata ia susulan pengesahan kewujudan Titah Addendum berkenaan oleh Peguam Negara, semalam.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Addendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.



