KUALA LUMPUR – Hakikat bahawa seorang Perdana Menteri, atau mana-mana individu berjawatan tinggi, dihadapkan dengan proses undang-undang sivil sebenarnya adalah petanda kuat kepada kebebasan badan kehakiman.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kamil Munim berkata, ini menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang kebal di bawah undang-undang, dan prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan. Sistem kehakiman yang bebas akan membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa campur tangan eksekutif, tidak kira siapa yang terlibat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mempersoalkan apa bukti Anwar campur tangan?
“Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mendakwa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri mempunyai isu undang-undang peribadi, dan kononnya Perdana Menteri sedang “mengoyakkan” institusi negara untuk kekal berkuasa, adalah tidak berasas.
“Dakwaan bahawa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri menghadapi isu undang-undang peribadi adalah suatu kenyataan yang perlu dibukti serta disandarkan dengan fakta yang konkrit, bukan tuduhan rambang.
“Tindakan Muhyidin menunggang kenyataan sebilangan ahli parlimen tidak lebih dari sekadar cubaan untuk menangguk di air yang keruh. Pandangan atau pendapat dari mana-mana ahli parlimen Kerajaan tidak boleh ditafsir sebagai hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri,” bidas Kamil.
Tegas beliau lagi, sepanjang tempoh Kerajaan Madani mentadbir negara, kita telah saksikan betapa ramai ahli Parlimen kerajaan telah memberi pandangan dan pendapat mereka secara terbuka terhadap dasar dan pendekatan Kerajaan di dalam pelbagai isu.
“Itulah bukti nyata kekuatan Kerajaan pada hari ini yang memperaku serta meraikan perbezaan pandangan dalam konteks sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenarnya, jauh beza dengan Muhyidin yang memilih untuk menutup Parlimen satu ketika dahulu kerana tidak berani berhadapan dengan ahli-ahli parlimen pembangkang.
“Justeru, perbezaan terbuka sebegini adalah amalan biasa yang diraikan secara terbuka oleh Kerajaan Madani, sebagai mengangkat prinsip kematangan dalam berpolitik.
“Budaya begini ternyata bukan amalan biasa gerombolan yang diketuai Muhyiddin, justeru muncul tafsiran yang tempang dari beliau,” katanya.
Menghubungkan isu populariti Perdana Menteri dengan dasar-dasar seperti peluasan cukai SST atau kenaikan tarif elektrik dengan dakwaan mengukuhkan cengkaman terhadap institusi juga jauh meleset, kata Kamil.
Menurut beliau, dasar-dasar ini adalah keputusan kerajaan yang dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan keadaan fiskal negara, dan ia tidak secara langsung membuktikan niat untuk campur tangan dalam institusi negara.
“Mengenai permohonan Perdana Menteri untuk merujuk lapan soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan prosiding sivil oleh Yusoff Rawther, ini adalah hak undang-undang sesiapa sahaja untuk mencari penjelasan atau tafsiran Perlembagaan daripada Mahkamah Persekutuan.
“Menyifatkannya sebagai “belum pernah berlaku sebelum ini” atau “konflik kepentingan yang jelas” adalah tafsiran yang dangkal, dan beliau sebagai ahli parlimen telah gagal memahami perkara asas dalam sistem perundangan negara. Untuk seorang anggota veteran legislatif negara seperti beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu amat memalukan dan tidak patut.
“Sehingga hari ini, tidak ada satu bukti yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri campur tangan atau melanggari mana-mana peruntukan undang-undang yang melibatkan pentadbiran kehakiman.
“Ini adalah naratif jahat yang dirangka dengan cara yang cukup tidak bertanggungjawab dan merupakan retorik politik yang bertujuan untuk menjejaskan kepercayaan awam dan mencetuskan ketidakstabilan,” tempelak Kamil.