KUALA LUMPUR, – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan pendirian tegas untuk terus mempertahankan institusi Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil menyeru seluruh kepimpinan dan ahli di semua peringkat agar memperkukuh muafakat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam satu kenyataan hari ini, ARMADA Malaysia melalui Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid, berkata pihaknya menyambut baik penjelasan Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, berhubung dakwaan wujudnya usul untuk menggantikan Presiden parti pada persidangan bahagian berkenaan.
“ARMADA ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Bahagian Port Dickson kerana telah menjelaskan bahawa tiada usul untuk menggantikan Presiden BERSATU YB Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan pada persidangan tersebut,” katanya.
ARMADA turut mengingatkan bahawa sebarang tindakan yang boleh menimbulkan bibit perpecahan dalam kalangan kepimpinan dan ahli adalah satu bentuk pengkhianatan kepada perjuangan parti.
“ARMADA BERSATU Malaysia di bawah kepimpinan YB Muhammad Hilman Idham berikrar untuk terus berdiri teguh bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin hingga tiba di Putrajaya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, ARMADA menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam usaha mempertahankan institusi Presiden dan sentiasa menitikberatkan disiplin organisasi demi kestabilan parti secara keseluruhan.