KUALA LUMPUR – Bersatu Bahagian Bersatu Port Dickson tidak mencari publisiti murahan susulan laporan berita mengenai usul bahagian itu agar berlaku peralihan kepemimpinan parti dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin disaran mengambil alih peranan sebagai Presiden, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin berkata, laporan berita berkenaan telah diambil di luar konteks kerana usul akar umbi yang dibawa adalah supaya Muhyiddin dapat menjadi mentor manakala, pemimpin yang lain dapat diberi ruang serta peluang untuk lebih aktif.
Lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, beliau berkata, jadi tidak timbul isu bahagian berkenaan mahu mencari publisiti murahan memandangkan dia sendiri sudah pun mempunyai nama dalam politik serta dikenali sebelum ini.
“Bagi saya laporan berita tersebut mungkin ada asas namun tidak ada kebenaran dalam hal itu. Beberapa pihak hanya terus buat keputusan serta beri pelbagai respon. Sedangkan usul itu adalah usul pemerkasaan kepimpinan yang terancang ke arah supaya kepimpinan mantap di setiap peringkat.
“Ini adalah dengan memberi ruang dan peranan yang lebih aktif kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam menjalankan operasi harian untuk memimpin di barisan hadapan selain memanfaatkan kepakaran Datuk Dr Radzi Jidin di pelbagai sudut dan peringkat.
“Manakala, Muhyiddin sebagai Presiden Pengasas akan menjadi mentor utama kepada kumpulan pimpinan muda yang telah dan akan diangkat sebagai pemuka parti. Tiada langsung sebut mengenai hendak ganti, ambil alih atau seumpamanya,” katanya lapor Utusan di Port Dickson pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu Bahagian Port Dickson meluluskan usul agar peralihan kepimpinan parti yang menyaksikan Hamzah mengambil alih peranan sebagai Presiden menggantikan Muhyiddin.
Usul yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian itu turut mencadangkan Muhyiddin diberi peranan sebagai penasihat -dan mentor kepada parti.
Che’gu Bard memohon agar semua pihak terutamanya individu dalam parti untuk lebih matang, bertenang serta tidak cepat membuat kesimpulan, sedangkan perkara utama adalah persediaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Malah, apabila timbul isu begini, banyak yang beri respon dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan, namun untuk tujuan memperjuangkan nasib rakyat. Banyak isu semasa yang perlu diperjuangkan dan ini lah yang perlu diketengahkan segera.
“Daripada segi usul parti tidak ada yang salahnya usul tersebut sebab usul itu jelas. Macam Datuk Seri Dr Radzi Jidin, kenapa kita ketengahkan sebab dia ahli akademik, anak Malaysia yang diambil jadi tenaga pengajar di universiti luar, salah kah cadangan ini?” katanya.