Oleh Zihan Zari
KOTA BHARU – Kejohanan sukan tahunan paling berprestij bagi institusi Politeknik dan Kolej Komuniti, MyPolyCC Sports Carnival 2025 (MSC’25), menyaksikan Kontinjen PolyCC Kedah pulang dengan penuh bergaya.
Semangat kental juang yang ditonjolkan oleh PolyCC Kedah akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menggondol 1 pingat emas dan 1 perak, sekaligus mengharumkan nama negeri jelapang padi itu.
Kontinjen Kedah diketuai oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) selaku ketua kontinjen, bersama-sama Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kolej Komuniti Sik, Kolej Komuniti Sungai Petani, Kolej Komuniti Kulim dan Kolej Komuniti Baling.
Sepanjang lima hari kejohanan berlangsung, sebanyak enam acara sukan utama dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, sepak takraw, bola tampar, badminton dan tenpin boling serta sebanyak 39 pingat dipertandingkan.
Kontinjen Kedah menyerlah apabila
pasukan badminton muncul juara dan menghadiahkan pingat emas pertama selepas menewaskan pasukan kuat dari Sarawak.
Salah seorang pemain utamanya, Lim Qian Thong begitu terharu dan bangga dapat menyumbang emas untuk Kedah, segala usaha latihan yang dijalankan selama ini akhirnya berbaloi dan membuahkan hasil.
“Terima kasih kepada jurulatih dan rakan-rakan sepasukan yang tidak pernah berputus asa,” katanya penuh semangat.
Manakala pasukan Bola Jaring Kedah turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mara ke peringkat akhir.
Walaupun tewas tipis kepada pasukan Perak, mereka tetap berjaya membawa pulang pingat perak yang membanggakan.
Pemain utamanya, Nur Fatin Alieya Zamri berkata, mereka telah memberikan sedaya upaya di dalam gelanggang.
“Walaupun tidak dapat emas, pingat perak ini, namun tetap berharga buat kami. Ia bukti semangat berpasukan dan pengorbanan semua atlet Kedah, ”katanya.
Kejayaan POLIMAS turut diraikan oleh Pengarahnya, Hj. Rosli Idris, yang juga Ketua Kontinjen PolyCC Kedah telah naik ke pentas utama untuk menerima trofi kemenangan bagi acara badminton.
“Saya amat bangga dengan pencapaian atlet kita. Walaupun berdepan cabaran sengit, mereka telah membuktikan semangat kesukanan, disiplin dan daya juang yang tinggi. Tahniah kepada Kontinjen Kedah,”katanya.
Sorakan ‘Pulun! Kedah Pulun’ bergema sejurus kemenangan diumumkan,
menandakan semangat juang dan perpaduan yang utuh dalam kalangan warga kontinjen Kedah.
MSC’25 berlangsung di Politeknik Kota Bharu (PKB) pada 29 Jun hingga 3 Julai lalu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP).
Ia menghimpunkan hampir 1,200 atlet dan pegawai yang mewakili 141 POLYCC seluruh negara bukan sekadar medan persaingan, malah simbol semangat kesukanan, perpaduan dan jati diri warganya.
Pasukan POLYCC Perak telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi MSC’25
Majlis penyampaian anugerah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPPKK, Dato’ Dr. Hj. Mohd Zahari Ismail.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik (Seksyen Sukan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr. Hanafiah Ayub; dan Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr. Hj. Mohd Daud Isa.-SUARA.TV