Konsert “Janji With Dayang” suatu perjalanan jiwa dan cinta buat peminat

- Advertisement -

Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada sebuah persembahan eksklusif yang bukan sekadar konsert, tetapi satu penghormatan dan dedikasi tulus dari seorang penyanyi kepada para peminatnya. “Janji With Dayang”, konsert istimewa yang dibawakan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team, bakal berlangsung di dua lokasi ikonik Top View, Pulau Pinang pada 23 Ogos dan Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur pada 27 September 2025. Lebih membanggakan, kedua-dua acara ini telah mencatat sejarah tersendiri apabila tiket terjual habis dalam masa yang amat singkat.

Dayang Nurfaizah bukanlah nama baharu dalam industri muzik tanah air. Dilahirkan pada 20 Julai 1981 di Kuching, Sarawak, beliau mula menjejakkan kaki ke dunia seni suara sejak tahun 1999, dan semenjak itu, namanya tidak pernah tenggelam. Dayang adalah lambang ketekunan, keaslian dan konsistensi seni suara yang telah mengalun rasa ke hati rakyat Malaysia selama lebih dua dekad. Dikenali dengan vokal yang merdu, kawalan suara yang luar biasa dan persembahan bertenaga, beliau telah memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk Anugerah Industri Muzik dan tiga kali berturut-turut merangkul gelaran Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu pencapaian yang tidak pernah dicapai oleh penyanyi wanita lain di Malaysia.

Namun, konsert ini bukan tentang retrospektif semata-mata. Ia adalah tentang masa kini dan suara hati Dayang yang terakam indah dalam album terbarunya berjudul Janji. Album ini menampilkan lapan buah lagu yang sarat dengan emosi, refleksi, dan kematangan – antaranya “Hakikat Cinta”, “Esok Lusa Selamanya”, “Di Akhir Dunia”, “Tak Mahu Berpisah”, “Janji”, “Tulus”, “Dunia Lain” dan “Mungkinkah”. Setiap satunya memiliki jalinan cerita tersendiri yang menjadi nadi kepada keseluruhan konsep persembahan ini.

Untuk kedua-dua malam persembahan istimewa ini, sebanyak 17 buah lagu akan dipersembahkan kepada penonton. Lagu-lagu tersebut dipilih dengan teliti bagi menggambarkan perjalanan emosi dan seni Dayang dari dahulu hingga kini. Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa adalah penyusunan muziknya yang diketuai oleh pengarah muzik berbakat, Sze Wan. Dikenali dalam kalangan industri sebagai seorang pengarah muzik yang teliti dan penuh perincian, sentuhan Sze Wan dijangka akan memperkayakan lagi pengalaman sonik peminat pada malam konsert nanti.

Dalam satu sesi temubual bersama Dayang, beliau meluahkan rasa teruja dan syukur yang mendalam terhadap sambutan luar biasa peminat terhadap konsert ini. Baginya, konsert ini bukan hanya tentang menzahirkan lagu-lagu dari album terbaru, tetapi lebih kepada mencipta sebuah memori bersama. Malah, Dayang mengakui beliau berdepan dengan tekanan, namun bukan tekanan yang menyesakkan. Sebaliknya, ia adalah tekanan positif – satu bentuk dorongan yang membuatkan dirinya bekerja lebih keras, menjaga kesihatan fizikal dan mental, serta memastikan semua aspek persembahan berada pada tahap terbaik. Ini kerana, bagi Dayang, peminat yang membeli tiket, datang dari jauh, dan memberi sokongan tanpa jemu mereka layak menerima yang terbaik daripada dirinya.

Konsert “Janji With Dayang” membawa kelainan dari segi konsep dan pendekatannya. Tiada gimik, tiada duet, tiada kejutan luar jangka. Segalanya adalah tentang suara, kejujuran dan hubungan yang dekat antara penyanyi dan peminat. Dayang tidak mahu sekadar berdiri di atas pentas dan menyanyi. Beliau mahu berbicara dengan peminat, mahu mereka turut serta dalam setiap lagu, dalam setiap bait lirik yang dinyanyikan. Beliau mahu mencipta ruang yang lebih intim, lebih personal, di mana peminat boleh merasa seolah-olah mereka sedang menyanyi bersama, bukan sekadar menonton dari jauh.

Pemilihan lokasi juga tidak dibuat sewenang-wenangnya. Rooftop Top View di Pulau Pinang dan Tower Terrace di Kuala Lumpur dipilih kerana simboliknya lokasi tinggi yang menawarkan perspektif baharu, serta memberi ruang kepada suasana eksklusif yang berbeza dari kebiasaan. Malah, konsert di Pulau Pinang menjadi lebih istimewa kerana ini merupakan persembahan terbuka pertama Dayang secara eksklusif di negeri tersebut. Walaupun ada rasa bimbang pada awalnya, sambutan yang diterima membuatkan Dayang tersentuh dan lebih bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik.

Sebagai anak jati Sarawak, Dayang juga menyentuh tentang keinginannya untuk membawa konsert ini ke negeri kelahirannya. Namun, beliau mengakui bahawa ada cabaran logistik dan organisasi yang perlu difikirkan, memandangkan konsert berskala ini melibatkan banyak pihak. Meskipun begitu, hasrat itu tetap ada dan beliau berharap suatu hari nanti, jika diizinkan rezeki dan peluang, Sarawak akan menjadi destinasi istimewa untuk persembahan seumpama ini.

Dalam ruang perbualannya, Dayang turut menyuarakan penghargaan dan sokongan terhadap bakat-bakat baharu dalam industri muzik. Sebagai seseorang yang dahulu pernah diberi peluang untuk membuka konsert besar ketika masih muda, beliau kini ingin memberi semula kepada generasi baharu. Dayang percaya, pengalaman adalah pentas pembelajaran terbaik, dan sebagai seorang artis yang sudah matang, beliau merasa bertanggungjawab untuk membuka ruang dan menyokong artis-artis muda yang berbakat.

Keseluruhannya, konsert “Janji With Dayang” bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah ruang jiwa yang dibuka luas oleh seorang penyanyi kepada peminatnya. Ia adalah tentang sebuah janji – janji untuk terus menyanyi dengan hati, janji untuk menghargai setiap sokongan yang diterima, dan janji untuk sentiasa memberi yang terbaik. Ia adalah hadiah – bukan hanya daripada Dayang kepada peminat, tetapi juga daripada peminat kepada Dayang kerana tanpa mereka, perjalanan seni ini tidak mungkin sejauh ini.

Sebagaimana yang disebut Dayang, beliau tidak menjanjikan gimik atau kejutan luar biasa, tetapi beliau berjanji bahawa setiap lagu yang dipersembahkan akan dilontarkan dengan penuh rasa. Dan itulah janji yang paling tulus kerana dalam dunia muzik, rasa adalah segala-galanya. Konsert ini adalah tentang rasa, tentang suara yang ikhlas, dan tentang cinta yang tidak pernah padam antara seorang penyanyi dan para pendengarnya.

“Janji With Dayang” bukan hanya akan dikenang sebagai satu persembahan, tetapi sebagai sebuah pertemuan jiwa yang mengikat hati dan suara, dalam satu malam yang pasti menjadi memori abadi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat