KUALA LUMPUR – Pemimpin Bersatu Datuk Razali Idris mengingatkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar melaksanakan pemilihan pimpinan tertinggi Umno sebelum ‘bersembang’ untuk merampas kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Adun Kijal itu mengingatkan Zahid agar Umno menyelesaikan pemilihan parti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan memandangkan sejak Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 , parti itu meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.
“Selesai dulu pemilihan parti seperti dalam perlembagaan, baru boleh bersembang besar,” bidas Razali.
Wakil rakyat Bersatu itu berkata demikian mengulas kenyataan Zahid bahawa Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk merampas kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Zahid selaku Pengerusi BN berkata, Umno akan meletakkan calon-calon pada PRU-16 bagi memastikan BN memenangi kerusi Parlimen yang dimenang parti pembangkang terbabit.
“Kita (BN) akan membuat tinjauan dan kajian terhadap kerusi-kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu di kawasan-kawasan tertentu.
“Insya-Allah kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kerusi itu akan kembali dimenangi calon-calon Umno pada PRU akan datang,”katanya.