KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan Putarajaya diberitahu Datuk Seri Najib Razak tidak menunjukkan usaha wajar untuk membuktikan kewujudan addendum diraja yang didakwa membenarkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah, semasa permohonan semakan kehakiman didengar di Mahkamah Tinggi tahun lalu.
Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar berkata Najib mendakwa menerima maklumat sahih bahawa bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mengeluarkan addendum terbabit.
“Namun, beliau tidak menunjukkan ada usaha untuk berkomunikasi dengan Istana Negara atau Istana Pahang mengenai perintah addendum itu,” kata Dusuki di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Malaya Tan Sri Hasnah Hashim, lapor FMT pada Rabu.
Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Rayuan itu difailkan Peguam Negara untuk membatalkan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan pada 6 Januari yang membenarkan rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.
Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas perdana menteri itu kerana afidavit dikemukakan disifatkan sebagai keterangan hearsay (khabar angin).
Anak Najib, Mohd Nizar, mengemukakan afidavit tambahan sebelum pendengaran di Mahkamah Rayuan, menyokong permohonan bapanya dan memohon untuk mengemukakan bukti baharu.
Nizar mendakwa Pengelola Istana Sultan Pahang Ahmad Khirrizal Ab Rahman telah mengesahkan kewujudan dan ketulenan addendum terbabit.
Dusuki dalam prosding hari ini turut menegaskan keputusan penghakiman minoriti Mahkamah Rayuan adalah tepat kerana mendapati Najib gagal menunjukkan usaha wajar.
“Responden (Najib) juga tidak cuba menghubungi Istana Pahang bagi mengesahkan addendum yang dikatakan dilampirkan bersama perintah utama pada 29 Jan 2024,” katanya.
Hakim Hanipah mencelah dengan menyatakan afidavit Nizar hanya difailkan selepas keputusan Mahkamah Tinggi kerana beliau perlu mendapatkan perkenan Sultan untuk menggunakan salinan adendum dalam prosiding mahkamah.
Dusuki menjawab walaupun Najib berada di Penjara Kajang, beliau masih diberi kemudahan untuk berhubung dengan pihak berkuasa.
“Orang yang mendakwa kewujudan adendum itu perlu membuktikannya,” tegasnya.
Hanipah turut menyatakan pada peringkat permohonan kebenaran, Peguam Negara seharusnya membantu mahkamah menilai sama ada permohonan tersebut remeh atau melepasi ambang yang ditetapkan.
Zabariah pula berkata, orang awam yang berfikiran waras pasti akan mempersoalkan sama ada adendum tersebut benar-benar wujud bersama perintah utama.
“Kita cuba menjelaskan sama ada perkara ini boleh dibangkitkan pada peringkat permohonan kebenaran atau seharusnya dibincang pada peringkat substantif,” katanya.
Dusuki, dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly, turut menegaskan satu-satunya keputusan rasmi yang dibuat pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Januari 2024 ialah mengurangkan hukuman penjara Najib dari 12 tahun kepada enam tahun serta denda dari RM210 juta kepada RM50 juta.
“Perintah pelepasan awal yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong serta mengandungi cop mohor diraja ditujukan kepada pihak berkuasa yang relevan, dan merujuk secara jelas kepada nasihat Lembaga Pengampunan,” katanya.
Sebaliknya, katanya lagi, adendum yang dipertikaikan tidak mengandungi tandatangan atau cop mohor Al-Sultan Abdullah, malah ditujukan kepada bekas peguam negara dan bukannya ketua pengarah Penjara.
“Ia juga tidak ditandatangani oleh menteri wilayah persekutuan dan berbeza secara ketara dari segi format dan struktur berbanding perintah pelepasan awal,” katanya, sambil menambah Najib gagal membuktikan ketulenan dokumen itu.
Dusuki turut berhujah majoriti Mahkamah Rayuan tersilap apabila bergantung pada kes Ladd v Marshall mengenai pengemukaan bukti baharu kerana prinsip itu adalah berdasarkan common law.
“Penghakiman minoriti adalah betul kerana bergantung kepada Kaedah 7(3A) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, iaitu undang-undang persekutuan,” katanya.
Beliau berkata kaedah ini menetapkan ambang yang lebih tinggi berbanding prinsip common law.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun berhubung kes SRC International Sdn Bhd selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan dan permohonan semakannya.