KUALA LUMPUR – Perdana Menteri bukanlah insan yang tahu semua perkara yang pada akhirnya ditertawakan oleh rakyat, demikian nasihat Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kena terima hakikat yang Perdana Menteri bukan tahu semua. Jangan kita hendak membayangkan diri kita ini adalah Perdana Menteri yang tahu semua, ini masalahnya, akhirnya ditertawakan rakyat.
“Tak payahlah tunjuk kepada semua kononnya yang awak pandai semua.. Tidak perlu.
“Tidak ada manusia yang tahu semua, ini yang menimbulkan perasaan marah terhadap Perdana Menteri,” ujar Hamzah.
Ahli Parlimen Larut yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu juga mengingatkan polisi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang pernah diusahakan oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini untuk diguna pakai dan diperbaiki.
“Bila sebut reset ini dia seperti handphone. Sampai satu masa ini telefon kita kadang-kadang ada masalah. Jadi kita kena reboot dia. Mana perlu dibuang kita buang, mana perlu dibaiki, kita baiki sistemnya, sebab kita hendak upgrade.
“Salahkah kerajaan dahulu buat kertas kerja, polisi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB)? Itu sesuatu yang baik. Kita ambil dan perbaiki. Apa salahnya?
“Ini tidak, buang semua, selepas itu tidak tahu hendak buat apa, selepas itu malu sendiri.
“Dulu sewaktu GST, kutuk cakap macam-macam. Akhirnya termakan diri, buat SST, lagi teruk sehingga rakyat hari ini cakap, apa ini?
“Malulah, minta maaf sahaja. Daripada cakap besar, akhirnya berbohong,” tegur Hamzah.