2 Adun Sabah, seorang ahli perniagaan mengaku tak bersalah pertuduhan rasuah cari gali mineral

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dua Adun Sabah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah di Mahkamah Rasuah Khas, di Kota Kinabalu pada Isnin.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta Datuk Tei Jiann Cheing atau dikenali sebagai Albert Tei membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Menurut pertuduhan, Yusof, 69, pada jam 2 petang 6 Mac 2023, di sebuah restoran hotel di Kota Kinabalu, telah menerima suapan wang tunai sebanyak RM200,000 daripada tertuduh, Jiann Cheing, 37.

Wang tersebut sebagai dorongan untuknya membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di Sabah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Yusof yang faham dengan pertuduhan tersebut memberitahu mahkamah bahawa beliau mengaku tidak bersalah.

Beliau dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dan deposit RM10,000 bersama seorang penjamin tempatan, lapor Sinar Harian di Sabah pada Isnin.

Dr Yusof juga diarahkan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, Andi Muhammad Suryady, 44, dalam pertuduhannya pada jam 11 malam 12 Mei 2023, di hadapan kediaman beliau di Jalan Pantai Sembulan, di sini, telah menerima suapan wang tunai sebanyak RM150,000 daripada tertuduh yang sama.

Wang itu sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di Sabah.

Tertuduh yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Ketika ditanya sama ada beliau faham dengan pertuduhan, beliau mengangguk sambil menyatakan bahawa faham.

“Yang arif, saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dan deposit RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan dan perlu melaporkan diri kepada SPRM dua bulan sekali selain diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh menganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Sementara itu, di bilik mahkamah sama, tertuduh Albert berdepan dua pertuduhan melakukan suapan sebanyak RM200,000 kepada Dr Yusof dan RM150,000 kepada Andi Muhammad Suryady.

Menurut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 6 Mac 2023 di sebuah restoran dalam hotel di sini, dan 12 Mei 2023 di hadapan sebuah kediaman di Jalan Pantai Sembulan.

Beliau turut membuat pengakuan tidak bersalah selepas faham dengan dua pertuduhan yang dibacakan.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah turut menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 dan deposit RM10,000 bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua wang jaminan sebanyak RM60,000 dan deposit RM15,000.

Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh praperbicaraan pengurusan kes.

Dr Yusof dan Andi Muhammad Suryady masing-masing diwakili barisan peguam, Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri, Elhanan James, Datin Jaharah Patinbangi dan Prem Elmer Ganasan.

Albert diwakili peguamnya, Edward Paul, Bartholomew Jingulam dan Jul Hamri Junhani.

Timbalan Pendakwa Raya pula ialah Rustam Sanip dan Nurul Izzati Sapifiee.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat