KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara besar-besaran ke atas lebih 4,000 kategori barangan dan perkhidmatan bermula minggu depan.
Peluasan ini berlaku serentak dengan kenaikan tarif asas elektrik dan semuanya bermula 1 Julai.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apabila ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bangkit menyuarakan kebimbangan tentang kesan dan beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung rakyat tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya cepat nipis telinga.
Kata Hamzah, Anwar menganggap semua kritikan disuarakan pembangkang sebagai bebal.
“Bila ahli-ahli Parlimen PN menegur kerajaan bahawa rasionalisasi RON95 yang akan dilaksanakan selepas ini bakal memburukkan lagi keadaan, ketika kehidupan rakyat sudah pun lemas, Perdana Menteri kata itu hanyalah gimik pembangkang.
“Semua dasar-dasar ini menekan rakyat tapi kerajaan seperti tidak peduli dan hidup dalam sindrom penafian.
“Keliru kami dengan Perdana Menteri ini. Lebih-lebih lagi apabila beliau suruh pembangkang belajar GST, – yang ditakrifkan oleh Anwar sebagai General Services Tax.
“Dalam keadaan rakyat terbeban dengan semua ini pun ada yang kata PMX dapat sokongan 55 peratus.Fikir-fikirkanlah,” bidas Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Timbalan Presiden Bersatu itu berkata lagi, banyak barangan keperluan harian rakyat yang selama ini tidak dicukai, mulai 1 Julai, SST 5 peratus dikenakan.
“Ikan selar, ikan tongkol, ikan cencaru, ikan bilis, oren dan epal juga dicukai. Semua ini makanan rakyat biasa.
“Hari ini pun dah banyak suara kemarahan dan kekecewaan orang muda, ada yang zahirkan secara terbuka di khalayak dan juga di media sosial.
“Mereka terkejut dan kecewa kerana urusan kahwin misalnya bermula 1 Julai kena SST 8 peratus. Sewa dewan kena cukai, sewa baju pengantin kena cukai, sewa katering pun kena cukai,” ujar Hamzah.