KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menegaskan dakwaan bahawa reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten, bukan hanya dalam sehari, bukan sekadar dalam kenyataan, tetapi dalam tindakan yang berstruktur.
“Reformasi bukan retorik ia sedang berlangsung dengan rancak, sejak awal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau telah menegaskan
bahawa Kerajaan Madani akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina.
“Pendirian ini diterjemah melalui tindakan. Sebarang teguran dilihat sebagai peluang untuk menambah baik dan pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu,” katanya.
Taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini menyingkap pencapaian membanggakan yang kita terima minggu ini Malaysia kini berada di kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025, melonjak 11 anak tangga berbanding tempat ke-34 tahun lalu. Ini merupakan prestasi terbaik negara sejak tahun 2020.
Menurut Tunku Nashrul, peningkatan ini bukanlah suatu kebetulan, tetapi hasil daripada komitmen berterusan dan pelaksanaan menyeluruh Kerajaan Madani menerusi pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation.
“Ia membuktikan Reformasi ekonomi dan birokrasi membuahkan hasil dan Kerangka Ekonomi Madani terus memastikan ekonomi negara berada di landasan
yang tepat.
“Kejayaan ini juga mencerminkan usaha kolektif dalam memperkukuh dasar fiskal, mempermudah urusan perniagaan, serta mempercepat reformasi penyampaian perkhidmatan awam termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB). Sebagai contoh, indeks persepsi birokrasi negara telah melonjak 22 anak tangga satu isyarat jelas bahawa reformasi sedang menunjukkan hasil yang nyata, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Seperti yang telah dibentangkan Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi Madani, teras utama adalah untuk menaikkan siling – yakni memperkukuh kekuatan ekonomi negara; dan memastikan kesejahteraan rakyat terus meningkat.
“Pelaburan Terus Masuk bukti keyakinan terhadap Malaysia Malaysia juga berjaya merekodkan RM89.8 bilion pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2025 meningkat 3.7 peratusberbanding tahun lalu meskipun landskap global kian mencabar. Pelaburan ini bakal menjana 1,600 projek baharu di seluruh negara dan lebih 33,000 peluang pekerjaan.
“Selain itu, dalam sektor mikroelektronik dan semikonduktor, Malaysia turut memperoleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport hasil penyertaan di SEMICON Southeast Asia 2025.
“Kesemua pengumuman ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar reformasi negara,” katanya.