KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari mendesak polis dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjalankan siasatan segera berkait kemungkinan potensi Muhammed Yusoff Rawther adalah agen perisik Mossad.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengingatkan, adalah tidak wajar laporan polis yang dikemukakan Exco AMK Dzul Hilmi Zainol dan beberapa NGO lain dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan susulan.
“Saya sokong tindakan Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol yang buat laporan polis ke atas Yusoff Rawther dengan gesaan agar polis siasat adakah benar dakwaan Yusoff seorang agen Mossad.
“Polis wajar siasat dengan kadar segera. Ini kerana jika benar dakwaan ini, ertinya tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018 mengambil Yusoff bekerja dengannya merupakan satu tindakan yang bahaya.
“Bagaimana seorang pemimpin utama PKR boleh mengambil seorang agen Mossad bekerja? Adakah tiada tapisan keselamatan? Adakah ramai lagi agen Mossad bekerja dengan PMX ketika itu (dan boleh jadi sekarang)?
“Ini lebih bahaya dan serius berbanding salah faham GST sebagai General Services Tax. Polis tidak boleh biarkan laporan polis ini begitu sahaja. Menteri KDN perlu segera bertindak,” desak beliau.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat kemungkinan potensi Muhammed Yusoff Rawther adalah agen perisik Mossad.
Dakwaan ini susulan Yusoff dikatakan pernah dilaporkan menyatakan sokongan individu berkenaan terhadap rejim zionis dalam surat terbuka pada 2017 di mana Yusoff dengan bangga menyatakan dirinya sebagai “One Malaysian, Standing with Israel”.
Sekretariat Kerjasama NGO Dzul Hilmi Zainol menuntut pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan tuntas sama ada Yusoff Rawther adalah agen kepada Mossad.
Bukan cuma itu, Dzul Hilmi malah menyatakan rasa hairan apabila ada dikalangan pemimpin -pemimpin politik yang berjuang mempertahankan maruah agama dan bangsa sudi menjadi peguam kepada Yusoff yang pernah menyatakan sokongan kepada negara laknatullah Israel.