Lebih 10 mayat termasuk bayi ditemui dalam Sungai Klang sewaktu laksana projek mitigasi banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lebih 10 mayat termasuk mayat bayi ditemui sepanjang pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang yang sedang giat dilaksanakan di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG), sekali gus menyerlahkan realiti mengejutkan di sebalik wajah sungai yang sedang dipulihkan.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata, penemuan mayat bukanlah insiden terpencil, malah berlaku hampir setiap bulan sejak kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai dimulakan pada 1 November 2022 sehingga kini.

“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.

“Malah, kami juga pernah menemui tiga mayat dalam tempoh berturut-turut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Mitigasi Banjir SMG Zon 8 di Kota Kemuning lapor Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, LLSB selaku pemaju induk projek di bawah SMG turut berdepan cabaran besar apabila antara mayat yang ditemui termasuk bayi, menjadikan penemuan itu antara aspek paling tidak terduga dalam pelaksanaan projek.

Selain penemuan mayat, pasukan pelaksana turut berdepan pencemaran teruk apabila menjumpai pelbagai jenis sampah berat seperti peti sejuk, tayar lori, katil, tilam, sofa, malah motosikal di dasar Sungai Klang.

“Saya sendiri tidak faham bagaimana peti sejuk boleh berakhir dalam sungai,” katanya sambil menyifatkan tahap pencemaran sedia ada sebagai serius dan mencabar kerja-kerja pendalaman sungai.

Projek mitigasi ini merupakan sebahagian usaha holistik di bawah SMG untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sehingga 40 peratus, selain membaik pulih ekosistem dan menambah baik kualiti air kepada tahap Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III dan ke atas.

Menurut Syaiful Azmen, projek ini juga menyokong inisiatif Shah Alam Sustainable Urban Drainage (SASUD) serta pembangunan loji rawatan air di Sungai Rasau, dalam usaha menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah yang boleh dirawat menjadi air minuman.

“Sehingga kini, lebih 918,936 meter padu bahan korekan seperti mendapan, sampah dan bahan batuan telah dikeluarkan dari dasar sungai,” ujarnya.

Projek ini turut melibatkan kerja-kerja pelebaran sungai dari 50–60 meter kepada 80–100 meter, pengukuhan tebing menggunakan kaedah earth bund, sheet pile, geo bag dan flood wall serta penggunaan teknologi terkini dalam sistem tebatan banjir.

Ketika ini, projek sedang giat dilaksanakan di Shah Alam meliputi Zon 6, Zon 7 dan Zon 8 merangkumi kawasan seperti Alam Impian, Seksyen 24, Seksyen 17 dan Kota Kemuning yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi banjir.

LLSB turut memberi jaminan bahawa gangguan terhadap komuniti setempat adalah minimum menerusi langkah seperti laluan alternatif, pemantauan bunyi dan habuk serta hebahan awal kepada penduduk.

“Projek ini bukan sahaja menambah kapasiti sungai dan mencegah banjir kilat, tetapi juga memulihkan martabat Sungai Klang sebagai aset sumber air dan ekosistem yang lestari,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan projek akan diteruskan di kawasan-kawasan lain sepanjang Sungai Klang berdasarkan keutamaan risiko banjir dan kepadatan penduduk.

“Cabaran kami bukan sedikit, namun kami yakin pendekatan bersepadu seperti ini adalah masa depan pengurusan air dan tebatan banjir di Selangor,” katanya lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat