RM300 juta diperuntuk kerajaan perkasa nelayan – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan berikrar kepada komuniti nelayan bahawa tidak akan berkompromi dengan ketirisan dalam industri perikanan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan, dua skim baharu bernilai RM300 juta telah diluluskan di bawah RMK-13, iaitu Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan dan Skim Geran Padanan bagi menggantikan pukat tunda dan bot sedia ada ke arah amalan perikanan yang lebih lestari.

“Dalam masa yang sama, subsidi diesel melalui SKDS 2.0 terus disasarkan dengan lebih cekap dan telus susulan kejayaan Ops TIRIS yang menyelamatkan negara daripada ketirisan melebihi RM400 juta.

“Libat urus bersama komuniti nelayan telah mengenal pasti 37 isu utama dan 46 peratus daripadanya telah diselesaikan. Selebihnya sedang dilaksanakan secara berperingkat.

“Kepada semua komuniti nelayan di seluruh negara, yakinlah bahawa kita tidak akan berkompromi dengan ketirisan. Kita akan terus menumpukan dasar bersasar, memperkasa anda sebagai pemain penting dalam ekosistem makanan negara, dan membawa industri ini melangkah ke depan dengan lebih berani dan berdaya tahan,” kata Zahid.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan, kesinambungan daripada Sesi Libat Urus bersama komuniti nelayan Zon Pantai Barat bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan pasukannya pada Mac lalu.

“Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) yang menjadi titik tolak kepada transformasi sektor perikanan negara secara menyeluruh. Sektor ini melibatkan lebih 144,000 nelayan dan merupakan tunjang kepada keterjaminan makanan nasional.

“Mesyuarat pertama bagi tahun 2025 ini turut disertai pelbagai kementerian dan agensi bagi membincangkan langkah strategik untuk meningkatkan pendapatan nelayan, memperkukuh sistem subsidi dan memastikan kelestarian sumber laut.

“Antara inisiatif utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA): Akuakultur untuk Nelayan B40 di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis yang akan melibatkan 1,100 nelayan tidak berlesen. Dengan peruntukan RM5 juta, program ini dijangka menjana pulangan sehingga RM50 juta setahun dan meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga RM10,000 sebulan.

“Kerajaan juga akan menubuhkan institusi memperkasakan nelayan di Lumut untuk melatih nelayan tempatan melalui program kemahiran, keusahawanan dan geran sehingga RM200,000 diperuntukkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memodenkan industri ini bukan sekadar menaik taraf teknologi dan kemudahan, malah memperkukuh ekosistem keusahawanan serta sokongan menyeluruh kepada pemain industri.

Ujarnya, ini penting agar sektor perikanan bukan sahaja mampu menjana pendapatan mampan, tetapi juga menjamin masa depan yang lebih bermaruah, lebih lestari dan lebih sejahtera khususnya buat nelayan dalam kalangan B40.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini membawa khabar gembira buat seluruh warga nelayan. Kita sepakat untuk mengangkat martabat sektor perikanan negara ke tahap yang lebih moden dan berdaya saing.

“Bang Mat juga ingin mengajak anak-anak muda menyahut cabaran dan peluang ini. Sertailah Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Lumut, sebuah institusi latihan yang bukan sahaja menawarkan ilmu dan kemahiran, tapi juga pakej keusahawanan lengkap termasuk geran.

“Kita bangunkan Malaysia Madani bersama, dari laut sampai ke darat, demi rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat