CYBERJAYA: Pihak Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan ke atas seorang anggota polis susulan dakwaan tidak beretika terhadap seorang wanita, yang didakwa membabitkan “ajakan berjumpa di rumah atau mendaftar masuk hotel”.
Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, siasatan turut meneliti aspek penyeliaan terhadap anggota terbabit.
“Jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis dan pegawai penyelia sekiranya aduan tersebut berasas,” katanya dalam kenyataan media.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di daerah Ampang dan laporan polis telah dibuat oleh Ketua Balai Pandan Indah, IPD Ampang Jaya semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat mengaibkan kehormatan seseorang, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkait dengan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, mengesahkan bahawa anggota yang terlibat telah dikenal pasti dan telah dikeluarkan daripada penugasan serta-merta.
“Susulan penularan video itu, anggota polis terlibat telah dikenal pasti dan dikeluarkan daripada penugasan semasa, siasatan tatatertib juga sedang dijalankan ke atas anggota terbabit,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Bernama.
Beliau turut menyeru wanita yang muncul dalam video tersebut untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Rakaman berdurasi kira-kira satu minit 30 saat itu mula dikesan sekitar jam 5 petang semalam selepas dimuat naik di TikTok oleh seorang pengguna sebelum tular ke platform lain termasuk Instagram.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hida Hayati di IPD Ampang Jaya menerusi talian 03-42897222.