KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025 iaitu peningkatan 3.7% walaupun berdepan persekitaran ekonomi global mencabar dan kurang memberangsangkan, lapor portal berita perniagaan, DagangNews.com
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) , pelaburan itu merangkumi 1,556 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama, dijangka mewujudkan lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
Katanya, pelaburan asing (FI) menguasai landskap pelaburan, menyumbang RM60.4 bilion atau 67.3% daripada jumlah pelaburan, manakala pelaburan domestik (DI) menyumbang RM29.4 bilion atau 32.7%.
“Keadaan ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar yang jelas dan asas jangka panjang negara, bertentangan dengan trend aliran modal antarabangsa yang lebih berhati-hati disebabkan ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, serta persaingan global yang semakin sengit untuk pelaburan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun pelaburan itu bakal mewujudkan 33,300 pekerjaan baharu, yang tidak kurang pentingnya ialah peningkatan dalam indeks pengurusan, teknikal dan penyeliaan negara.
Beliau berkata, indeks tersebut telah meningkat daripada 44.2 peratus pada suku pertama (1Q) 2024 kepada 46.3% pada 1Q 2025, mencerminkan kejayaan berterusan negara dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik untuk rakyat Malaysia.
“Dengan ekonomi ASEAN yang lebih terintegrasi, yang sedang kami usahakan sebagai pengerusi ASEAN, kami juga sedang merintis laluan bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan di rantau yang sedang pesat membangun dengan populasi seramai 680 juta ini,” katanya.
Singapura muncul sebagai pelabur asing utama dengan pelaburan sebanyak RM28.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM9.9 bilion), China (RM7.9 bilion), Kepulauan Virgin British (RM6.6 bilion) dan Taiwan (RM1.7 bilion).
“Dari segi negeri, Johor mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan tertinggi (RM30.1 bilion), diikuti Kuala Lumpur (RM15 bilion), Sabah (RM10.9 bilion), Selangor (RM10.2 bilion) dan Pulau Pinang (RM9.2 bilion),” kata kenyataan itu.
MIDA berkata, sektor perkhidmatan muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM57.8 bilion merangkumi 1,342 projek.
Prestasi sektor itu diserlahkan oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 39.5% dan bakal mewujudkan 15,051 pekerjaan baharu, menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan ekonomi negara.
Bagi sektor pembuatan, MIDA memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM30.5 bilion bagi suku pertama 2025. Kelulusan 207 projek dijangka menjana 18,317 peluang pekerjaan baharu.
Bagi sektor utama, ia memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM1.5 bilion merangkumi tujuh projek, kebanyakannya dalam sektor perlombongan.
“Pelaburan yang diluluskan didominasi oleh sumber tempatan sebanyak RM1.1 bilion (72.1%), manakala sumber asing menyumbang RM0.4 bilion (27.9%),” katanya.
Secara keseluruhan, Tengku Zafrul berkata, persekitaran pelaburan pada 2025 dijangka kekal mencabar disebabkan ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi yang berterusan berpunca daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
Namun begitu, beliau berkata, dasar perlindungan pasaran utama dan gangguan rantaian bekalan terus mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat-syarikat, dasar Malaysia yang jelas seharusnya dapat menarik lebih banyak pelaburan dari ekonomi Asia yang sedang berkembang pesat.
“Ini dijangka berkembang sehingga merangkumi kira-kira 42% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global menjelang 2040,” katanya. – DagangNews.com