Peluasan skop SST mulai Julai ini tetap lindungi rakyat dalam kumpulan B40 dan M40

- Advertisement -

PUTRAJAYA, – Pengumuman Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2025, mempamerkan pendekatan serampang dua mata yang jelas iaitu melaksanakan reformasi fiskal bagi mengukuhkan ekonomi negara, dan melindungi rakyat kelas bawahan dan pertengahan.

Jika dilihat perubahan kadar cukai SST yang diumumkan ia hanya memfokus kepada barangan mewah dan perkhidmatan komersial yang mempunyai keuntungan berlipat kali ganda dan warga asing bertaraf ekspatriat.

Menurut Kementerian Kewangan hanya barangan dan perkhidmatan bukan keperluan yang dikategorikan sebagai mewah atau eksklusif menjadi sasaran cukai baharu ini.

Ini dapat dilihat apabila kerajaan mengekalkan kadar sifar (0%) Cukai Jualan (CJ) bagi barangan asas seperti ayam, daging lembu, udang, buah tempatan, baja dan simen.

Di bawah pelarasan ini, hanya barangan pilihan dan mewah dikenakan kenaikan kadar 5 peratus seperti jualan ikan Salmon, ikan kod, buah-buahan import, jentera industri.

Manakala kadar 10% cukai jualan dikenakan ke atas barangan eksklusif seperti basikal lumba dan lukisan antik.

Selain itu, perkhidmatan penting seperti kesihatan dan pendidikan bagi warganegara tempatan juga kekal tanpa sebarang perubahan kadar cukai.

Walaupun skop Cukai Perkhidmatan (CP) akan melibatkan enam kategori baharu: Sewaan/Pajakan, Pembinaan, Kewangan, Kesihatan Swasta, Pendidikan, dan Kecantikan, namun pelaksanaan ini telah disusun rapi agar tidak menjejaskan kehidupan seharian rakyat terutama kelas menengah dan B40.

Antara pengecualian penting dalam peluasan skop ini ialah tiada cukai perkhidmatan untuk sewaan rumah kediaman. Bagi sewaan komersial pula Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pendapatan bawa RM500,000 juga dikecualikan dari cukai perkhidmatan sewaan.

Bagi cukai perkhidmatan pembinaan, syarikat kontraktor kecil yang berpendapatan di bawah RM1.5 juta setahun juga dikecualikan dari cukai perkhidmatan sektor pembinaan.

Bagi sektor kesihatan dan pendidikan, hanya perkhidmatan untuk bukan warganegara yang dikenakan cukai.

Dalam kes pendidikan, CP hanya terpakai kepada sekolah antarabangsa yang mengenakan yuran tahunan melebihi RM60,000, yang kebanyakannya disasarkan kepada ekspatriat dan golongan elit. Ini bermakna hampir seluruh sistem pendidikan tempatan kekal bebas cukai, memastikan keluarga tempatan tidak terkesan.

SST vs GST

Di sebalik laungan untuk melaksanakan GST semula, SST sebenarnya lebih melindungi rakyat kerana ia mempunyai mekanisme mengenal pasti kumpulan sasar.

Dalam sistem GST semua pihak dikenakan cukai 6 peratus tanpa mengira tahap pendapatan dan ekonomi. Malahan kerap kali GST mengenakan cukai berlapis sehingga meningkat kos perniagaan berkali ganda.

Sebaliknya SST bukan sahaja menjadi lebih adil, malah membantu melindungi kelas pertengahan dan B40 daripada sebarang beban tambahan.

Mengurus kewangan yang lebih adil

Perluasan skop SST ini bukan sahaja membolehkan kerajaan mengawal jurang pendapatan yang kian melebar tetapi juga mengutip hasil untuk membangunkan negara dan membantu rakyat.

Ia merupakan usaha menyediakan ruang fiskal kewangan negara yang mampan agar kerajaan dapat terus memberi bantuan tunai dan subsidi rakyat, meningkatkan perkhidmatan kesihatan nasional negara serta menyediakan prasarana pendidikan sekolah yang lebih baik pada masa hadapan.

Langkah ini juga penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara menjelang tahun-tahun mendatang, terutama Belanjawan 2026 dan 2027.

Semakan semula SST ini jelas memperlihatkan satu usaha kerajaan untuk membina sistem percukaian yang lebih adil, progresif dan bertanggungjawab.

Dengan memfokuskan cukai kepada barangan mewah dan warga asing, serta mengecualikan keperluan asas dan rakyat biasa, kerajaan berjaya mengimbangi antara keperluan hasil negara dan perlindungan sosial.

Malahan syarikat yang terlibat dalam kategori perkhidmatan baharu ini diberi masa sehingga Ogos 2025 untuk mendaftar, dengan kutipan cukai mula dilaksanakan secara rasmi pada September 2025. Ini memberi ruang bagi penyesuaian dan pematuhan yang lancar.

Tampak langkah ini dilakukan secara berhati-hati dan ini membolehkan kerajaan meminimumkan kesan terhadap kadar inflasi dan kos sara hidup.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat