Jangan Kelirukan Rakyat dengan Undang-Undang yang Silap – Armizan Tegur Wee Ka Siong

- Advertisement -

CYBERJAYA  – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, menegur keras Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, kerana didakwa tersilap merujuk akta berkaitan subsidi tong gas petroleum cecair (LPG), hingga berpotensi mengelirukan rakyat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Armizan membidas kenyataan Wee yang merujuk kepada Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652), sedangkan beliau sendiri dalam sidang media pada 5 Jun lalu secara khusus menyebut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB 2021) sebagai sumber rujukan perundangan berhubung pelaksanaan sistem pengedaran LPG bersubsidi.

“Saya harap Presiden MCA tidak cepat koyak bila saya petik nama DAP hingga tersilap rujuk undang-undang.

Dalam sidang media, saya sebut jelas PPKB (Pindaan) 2021. Tapi beliau ulas panjang lebar tentang Akta A1652. Sudah tentu tidak akan jumpa peruntukan yang saya maksudkan. Saya sebut A, beliau rujuk Z,” kata Armizan secara sinis.

Menurut beliau, PPKB (Pindaan) 2021 telah digubal oleh KPDNHEP pada tahun 2021, dan telah mula berkuat kuasa pada 15 Oktober 2021, serta diwartakan secara rasmi dalam Warta Kerajaan Persekutuan — boleh diakses oleh umum.

Dalam kenyataan tersebut, Armizan turut menyindir ‘keterlambatan’ Presiden MCA dalam menunjukkan keprihatinan terhadap suara rakyat.

“Saya fikir perlu ucapkan tahniah kepada Presiden MCA kerana dalam ‘posisi’ sekarang, beliau lebih cakna sebagai ‘jurucakap rakyat’. Tapi alangkah baiknya jika peranan itu dimainkan ketika beliau masih Menteri.

Jika bantahan dibuat lebih awal pada 2021, bukan pada 2025, mungkin lebih banyak perkara dapat dielakkan,” tambahnya.

Armizan turut menolak tuduhan bahawa beliau memetik punca kuasa undang-undang yang tidak wujud. Beliau menyatakan, walaupun beliau hanya Ahli Parlimen penggal pertama, beliau tetap berpegang kepada sumber dan rujukan perundangan yang sah.

“Saya tidak kisah Presiden MCA tuduh saya berbohong. Orang politik jangan cepat koyak. Tapi saya mohon, jangan kelirukan rakyat dengan undang-undang yang saya tidak sebut.

Memang beliau lebih berpengalaman, tapi pengalaman itu seharusnya mencerminkan ketepatan dan tanggungjawab dalam menyampaikan maklumat.”

Isu ini timbul susulan pelaksanaan sistem pengedaran LPG bersubsidi yang diperkenalkan kerajaan, yang mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk dari MCA. Wee Ka Siong sebelum ini mendakwa bahawa dasar tersebut menimbulkan kerisauan di peringkat akar umbi dan mempersoalkan peruntukan undang-undang yang menjadi asas pelaksanaannya.

Namun, Armizan menegaskan bahawa dasar tersebut berpaksikan PPKB (Pindaan) 2021, bukannya Akta A1652 seperti yang didakwa oleh Presiden MCA.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat