KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet pada pada hari ini telah meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya dilaksanakan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 yang sebelum ini telah diluluskan oleh pentadbiran Kerajaan lalu dan telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PPKB (Pindaan) 2021 tersebut telah menetapkan sekatan had kepada peniaga bagi pemilikan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan kepada Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
“Antara teras kepada pindaan yang akan dibuat adalah mengambil kira keperluan peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil secara bersasar; mewujudkan kejelasan undang-undang (clarity of law) untuk memastikan keberkesanan pematuhan dan penguatkuasaan.
“Jemaah Menteri juga bersetuju dengan syor agar semakan dan pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021 ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPDN dan turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan selain mendapatkan syor dan pandangan
daripada pelbagai pemegang taruh,” katanya.
Dalam pada itu, Mesyuarat Jemaah Menteri juga memperakukan supaya sepanjang tempoh OPS GASAK dan sehingga pindaan kepada PPKB (Pindaan) 2021
dimuktamadkan tidak ada tindakan undang-undang diambil terhadap perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil berkaitan penggunaan silinder LPG bersubsidi bagi keperluan premis perniagaan sendiri.
“Para peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman dibenarkan untuk mendapatkan bekalan tong LPG bersubsidi tanpa keperluan permit barang kawalan berjadual.
“Pada masa yang sama, gerak kerja membanteras ketirisan yang melibatkan aktiviti haram decanting dan penggunaan oleh industri melalui OPS GASAK akan diteruskan,” kata Armizan lagi.