KUALA LUMPUR, – Keluarga Allahyarham Mohd Khairi Mazlan, bekas petugas sebuah syarikat media yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 25 Mei lalu, menerima sinar harapan apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan bantuan faedah keselamatan sosial melebihi RM2,500 sebulan kepada balu dan anak-anaknya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, dan empat orang anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, termasuk seorang anak istimewa (OKU) yang masih bersekolah.
Keprihatinan Allahyarham semasa hayatnya yang mencarum dengan PERKESO membolehkan warisnya menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat bulanan sebanyak RM2,553, yang akan mula disalurkan hujung bulan ini.
“Alhamdulillah, faedah ini adalah rahmat yang amat bermakna pada saat kami sedang melalui waktu yang mencabar. Ia sedikit sebanyak membantu menampung kos pendidikan dan keperluan harian anak-anak,” kata Anis Sabariah ketika ditemui dalam program Ziarah Prihatin PERKESO di kediaman mereka di Klang Gate, di sini.
Dalam satu kenyataan, PERKESO menegaskan bahawa kehilangan ketua keluarga adalah satu ujian besar, namun agensi itu sentiasa komited memastikan hak pencarum diberikan sepenuhnya kepada waris yang layak.
“Perlindungan keselamatan sosial bukan hanya sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang pencarum kepada keluarga, walaupun selepas pemergian mereka,” menurut kenyataan itu.
PERKESO turut menyeru para majikan agar terus komited membuat caruman pekerja secara konsisten demi menjamin masa depan mereka dan keluarga sekiranya perkara tidak diingini berlaku.
“Walaupun masa depan tidak dapat diramal, namun perlindungan boleh dirancang. Dalam setiap caruman itu, tersimpan harapan buat yang tercinta,” tambah kenyataan berkenaan.