KUALA LUMPUR – Umno Bahagian Johor Bahru sentiasa menghormati keputusan pucuk pimpinan, termasuk dalam urusan pembahagian kerusi dan strategi gabungan parti.
Namun ini tidak bermakna mereka akan berdiam diri jika nama baik parti kami dicemari dan dijadikan bahan hasutan untuk menimbulkan kebencian.
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Yahya Jaafar melahirkan rasa amat dukacita apabila Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan sindiran tidak berasas yang cuba menuding jari secara tersirat kepada Umno kononnya ingin ‘merampas’ kerusi Parlimen Johor Bahru.
Hal ini menurutnya sebagai satu tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.
“Saya menolak sepenuhnya dakwaan tidak berasas ini yang dilihat taktik terdesak untuk mengalih perhatian daripada kekacauan dalaman PKR yang semakin parah. Jangan heret kami ke dalam drama perebutan kuasa dan percaturan politik dalaman PKR.
“Kami ingin beri peringatan kepada Akmal Nasir jika yakin dengan prestasi dan perkhidmatan kepada rakyat Johor Bahru, tidak perlulah mencipta naratif kononnya ada ancaman dari luar semata-mata untuk mengekalkan kedudukan dan kekal relevan.
“Politik takut bayang-bayang sendiri bukan budaya kami,” tegas Yahya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, Umno Bahagian Johor Bahru sentiasa terbuka untuk bekerjasama demi kestabilan dan kepentingan rakyat, selagi mana kerjasama itu dibina atas dasar saling menghormati dan kejujuran.
“Namun, jika ada pihak yang memilih untuk mengambil sikap bermusuhan, kami juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan segala kekuatan yang kami miliki.
“Apa yang lebih utama, kami tetap komited untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat Johor Bahru.
“Umno Bahagian Johor Bahru menjunjung titah Pemangku Sultan Johor sempena pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Johor. Titah baginda jelas ini masa untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan masa berpolitik.
“Kami berdiri teguh mempertahankan titah baginda dan mengambil pendirian tegas untuk tidak terlibat dalam mana-mana permainan politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat, apatah lagi ketika mereka sedang bergelut dengan cabaran ekonomi,” ujar Yahya.