CYBERJAYA – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Nga Kor Ming dikritik hebat susulan respon kasarnya terhadap persoalan berhubung pelaksanaan projek MyKiosk yang melibatkan jutaan ringgit wang rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Dasar Awam dan Kebajikan Rakyat MCA, Dato’ Dr. Monna Ong Siew Siew, menyifatkan tindakan Nga sebagai tidak matang dan mencemarkan semangat “Malaysia Madani” yang menekankan adab, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Sebagai menteri, beliau sepatutnya menjawab dengan fakta, bukan menyerang peribadi. Perbezaan pendapat dalam demokrasi adalah lumrah, tetapi perlu dijawab dengan hujah, bukan sindiran,” tegas Monna.
Projek MyKiosk yang bertujuan membantu peniaga kecil kini dipersoal kerana banyak unit tidak digunakan, manakala kos pembinaan dilapor mencecah RM25,000 seunit — melebihi harga siling RM15,000 yang ditetapkan KPKT.
“Jika satu kiosk terlebih RM5,000, bagaimana dengan ratusan kiosk? Ini bukan rekaan, tetapi maklumat dari dokumen tender rasmi,” kata Monna.
Beliau menegaskan MCA bukan menolak inisiatif MyKiosk, sebaliknya meminta kerajaan berlaku telus dan pastikan wang rakyat digunakan sebaiknya.
Tindakan Nga yang dilihat mengarah pegawai menyiasat pengkritik MyKiosk di media sosial turut menimbulkan kebimbangan.
“Mengapa menteri perlu marah jika tiada apa yang hendak disorok? Rakyat ada hak bertanya,” ujar Monna lagi.
Beliau turut menyeru Nga hadir sendiri ke SPRM untuk membuat laporan, bukannya hanya menjemput Ketua Pesuruhjaya ke pejabatnya — yang boleh memberi persepsi salah terhadap kebebasan institusi itu.
Monna menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa semangat Malaysia Madani perlu diterjemah melalui tindakan, bukan sekadar slogan.
“Jika kritikan dianggap serangan, dan suara rakyat dibalas dengan sindiran, apa beza kerajaan hari ini dengan yang dulu?” soal beliau.