KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang bakal berentap dengan Datuk Seri Rafizi Ramli merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, menegaskan beliau tidak mahu dibebani dengan isu seperti perdebatan.
“Saya tidak mahu kita dibebani dengan isu seperti perdebatan. Ia bukan soal berpolitik semata-mata,” katanya lapor Bernama.
Pada sidang media selepas program bersama akar umbi parti di Shah Alam malam tadi, Nurul Izzah berkata, kempen beliau kali ini memberi tumpuan kepada program berimpak tinggi dan pendekatan menyeluruh yang bermakna, khususnya kepada wanita dan pengundi muda, sambil meminimumkan ketegangan politik.
Terdahulu, Rafizi pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Mentakab, Pahang, memaklumkan beliau sedia berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong masing-masing ketika ini.
“Insya-Allah saya tiada masalah untuk berdebat dengan Nurul Izzah,” katanya mengakui terdapat cadangan daripada akar umbi untuk debat itu yang diharapkan dapat membawa kempen lebih berisi dan matang.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda PKR Prasanth Kumar Brakasam mencadangkan debat awam antara dua calon timbalan presiden itu bagi membentangkan idea, strategi dan visi mereka dalam memperkukuh parti, Kerajaan Perpaduan serta Pakatan Harapan (PH).
Pada pemilihan 2022, Rafizi menang jawatan timbalan presiden selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Nurul Izzah pula tidak bertanding dan kemudian dilantik sebagai naib presiden.
Sementara itu, portal FMT melaporkan, Nurul Izzah menegaskan, keutamaannya pada masa ini bukan pada aktiviti yang boleh memburukkan pertikaian dalaman.
“Kita nak kurangkan ketegangan kerana keutamaan kita adalah untuk menyantuni perwakilan. Saya nak teruskan kerja saya, program bersama Wanita, bersama anak muda. Kita bukan nak berpolitik, tetapi nak libat urus dengan semua cabang,” katanya.
Beliau juga meminta PKR lebih fokus menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, memastikan capaian bukan sahaja membabitkan penyokong teras, tetapi juga pengundi atas pagar.