KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan menerima aduan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak (DVS Perak) berkait penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh, Perak.
Menurut kenyataan jabatan itu, pemeriksaan bedah siasat telah dijalankan ke atas tiga bangkai burung merpati.
Ujarnya, pemeriksaan luaran tidak menunjukkan sebarang tanda signifikan yang dapat menjelaskan punca kematian.
“Namun, pemeriksaan dalaman mendapati kesemua burung mempunyai kandungan perut yang penuh serta beberapa penemuan signifikan, termasuk perubahan warna pada hati, kehadiran darah beku dalam rongga toraks, serta pendarahan pada trakea dan paru-paru.
“Sampel organ dalaman seperti hati, jantung, buah pinggang, limpa, paru paru, usus dan trakea telah dihantar untuk analisis makmal. Keputusan
awal menunjukkan ujian bagi penyakit Avian Influenza (AI), Newcastle Disease (ND), dan Adenovirus adalah negatif.
“Pada masa ini, ujian keracunan sedang dijalankan oleh Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Berdasarkan dapatan semasa, DVS mendapati bahawa penyakit berjangkit seperti AI, ND dan Adenovirus bukanlah faktor penyebab kematian burung merpati dalam insiden ini.
“Kesimpulan akhir hanya akan dapat dibuat setelah keputusan ujian keracunan diterima daripada Jabatan Kimia.
“Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk melindungi keselamatan awam serta sektor penternakan negara daripada risiko penyakit bawaan haiwan, DVS akan terus menjalankan pemantauan terhadap situasi semasa di Padang Ipoh,” katanya.
Aduan tersebut diterima daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 4 Mei 2025. Susulan itu, satu lawatan tapak dan sesi temu siasat telah dijalankan oleh pihak DVS Perak ke lokasi kejadian pada jam 2.05 petang hari yang sama.
“Pemerhatian awal mendapati terdapat banyak bangkai burung merpati di kawasan berkenaan, namun burung-burung lain yang berada di lokasi kelihatan sihat dan normal.
“Sehingga 5 Mei 2025, tiada kematian baru dilaporkan.
“Orang ramai turut diminta untuk melaporkan segera kepada DVS Negeri berhampiran atau hubungi talian hotline 03-8870 2041 sekiranya menemui bangkai burung atau haiwan lain yang kelihatan luar biasa atau mencurigakan. Kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha pencegahan dan kawalan penyakit haiwan,” kata kenyataan itu lagi.