KUALA LUMPUR – Lapan parti lokal Sabah yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih untuk melangkah sederap sebagai satu keluarga bagi mencipta kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS terus kekal bersatu sebagai satu keluarga yang akan terus membawa kemajuan kepada Negeri Di Bawah Bayu.
“Hari ini kesemua tujuh Presiden parti-parti komponen GRS telah menyatakan komitmen untuk terus bersama bagi memastikan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Saya menghargai kepercayaan dan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti dan sememangnya ini membuktikan bahawa kami akan terus bergerak sehaluan demi kestabilan politik dan pembangunan negeri tercinta,” katanya yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Menurut Hajiji pertemuan hampir tiga jam ini disertai oleh Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam; Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin; Presiden PCS Tan Sri Anifah Aman; Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Presiden LDP Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah dan juga Datuk Seri Masidi Manjun.
“GRS akan terus bergerak bersama dengan semangat muafakat dan perpaduan yang jitu untuk memastikan negeri Sabah akan terus melangkah maju, bersatu dalam kepelbagaian dan teguh dalam perjuangan,” tegasnya.