KUALA LUMPUR,- Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada TYT Lawrence Wong atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Singapura serta kemenangan cemerlang Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 negara itu.
Menurut Zahid, kemenangan besar PAP jelas mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan visi progresif Lawrence Wong untuk masa depan Singapura.
“Saya percaya kemenangan ini adalah satu isyarat bahawa rakyat Singapura yakin dengan dasar progresif dan visi beliau untuk masa depan negara Singapura,” kata Zahid dalam satu hantaran Facebook rasminya.
Beliau turut menekankan bahawa hubungan antara Malaysia dan Singapura bukan sahaja berdasarkan geografi, tetapi turut disokong oleh sejarah, budaya dan hubungan ekonomi yang erat.
“Saya yakin di bawah kepimpinan TYT Lawrence Wong, hubungan dua hala ini akan terus diperkukuh, membuka lembaran baharu dalam kerjasama serantau yang saling menguntungkan. Insya-Allah,” katanya.
Zahid turut mendoakan agar Singapura terus makmur dan maju jaya di bawah pentadbiran baharu, sambil berharap hubungan erat Malaysia-Singapura terus berkembang demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama.