ALOR SETAR, – UMNO Kedah menggesa Pejabat Mufti Negeri Kedah agar segera menyiasat dakwaan solat Jumaat bersama makhluk halus (bunian) yang dikaitkan dengan seorang individu bergelar tokoh agama.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin, kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah berpotensi mengelirukan umat Islam serta mencemarkan kefahaman terhadap ibadah asas seperti solat Jumaat.
“Dakwaan ini perlu ditangani segera dan tegas oleh pihak berautoriti agama. Ia membuka ruang kepada penyelewengan akidah dan boleh mengundang kekeliruan yang lebih besar dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Pejabat Mufti Kedah tidak sepatutnya tunduk kepada sebarang tekanan politik atau persepsi awam dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Institusi agama seperti Pejabat Mufti tidak boleh dibiarkan dibayangi ketakutan terhadap reperkusi politik. Jika sesuatu yang batil tidak ditegur hanya kerana individu itu ada pengaruh atau pengikut, maka kita sedang merosakkan agama dari dalam,” ujarnya lagi.
UMNO Kedah, tambah beliau, akan terus berdiri teguh mempertahankan Pejabat Mufti sebagai institusi penting dalam menjaga kesucian agama dan mendidik masyarakat berdasarkan ilmu yang sahih.
Beliau turut memberi amaran bahawa kenyataan-kenyataan meragukan berkaitan hal ghaib seperti ini, jika dibiarkan tanpa tindakan, hanya akan membuka lebih banyak ruang kepada kekeliruan dan penyelewengan akidah.
“Agama Islam tidak boleh dipermainkan atas nama karamah atau cerita sensasi. Jangan kompromi dengan kebatilan,” tegas beliau.-SuaraTV