KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mendakwa bukan setakat kecewa tetapi ahli ahli Umno dan mereka yang menyokong keadilan wajar berkecil hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam berhubung titah addendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Kata Puad keputusan mahkamah itu menguatkan lagi dakwaan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Abdul Rahman Sebli bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Maknanya Najib terpaksa tunggu lagi lama.
“Kita hairan kenapa “Peguam Negara Baru” meneruskan tindakan Peguam Negara lama. Najib terpaksa berjuang di Mahkamah membuktikan “titah adendum” wujud.
“(Sedangkan) bekas Yang di-Pertuan Agong ke 16 dan Perdana Menteri mengakui kewujudannya. Tetapi setelah berjaya Najib terpaksa pula tunggu hingga Julai 2025. Najib sukar berjuang melalui mahkamah,” kata Puad.
Semalam, Peguam Negara (AG) berjaya mendapat kebenaran di Mahkamah Persekutuan duntuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib mencabar titah addendum.
Keputusan sebulat suara itu dibuat Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
“Selepas membaca dengan teliti hujahan dan segala nas dan prinsip undang-undang, kami sebulat suara mendapati permohonan (Peguam Negara) berjaya melepasi peruntukan yang ditetapkan. Kami mendapati isu yang ditimbulkan ada sesuatu yang baharu dan sesuatu yang menyentuh kepentingan awam serta perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah,” kata Hakim Hasnah.
Dengan keputusan itu, Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dibenarkan merayu dengan mahkamah bakal mendengar persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada satu tarikh yang lazimnya ditetapkan kemudian.