KUALA LUMPUR – Gabungan politik bukan sekadar susunan strategi, tetapi cerminan kematangan demokrasi.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, sesuatu gabungan politik jika diasaskan atas kepercayaan dan tujuan bersama, ia mampu membawa negara menuju masa depan yang lebih stabil dan meyakinkan.
Beliau mengemukakan pro dan kontra pembentukan gabungan politik sebelum dan selepas pilihan raya dan menurut Salleh tiada jawapan yang mutlak.
Tegas beliau, apa yang paling penting ialah gabungan dibina dengan kejujuran, mengutamakan kestabilan, dan menghormati mandat rakyat, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya, niatnya mestilah untuk rakyat, bukan sekadar mengejar kuasa.
“Dalam sistem demokrasi, gabungan politik boleh dibentuk sama ada sebelum atau selepas pilihan raya. Pemilihannya bergantung kepada strategi, budaya politik, dan struktur sistem pilihan raya di sesebuah negara.
“Gabungan sebelum pilihan raya berlaku apabila beberapa parti bersetuju untuk bekerjasama sepanjang tempoh kempen. Kerjasama ini mungkin melibatkan perkongsian manifesto, penyelarasan pembahagian kerusi, dan dalam sesetengah kes, penggunaan logo atau penjenamaan bersama.
“Dalam sesetengah gabungan, wujud juga “pertandingan mesra” di mana dua parti bertanding di kawasan yang sama secara persahabatan dengan persetujuan bahawa siapa pun yang menang akan mewakili gabungan dalam kerajaan.
“(Manakala) gabungan selepas pilihan raya pula terbentuk apabila tiada parti yang memperoleh majoriti jelas, lalu parti-parti berunding untuk membentuk kerajaan bersama,” jelas Bendahari Umno Sabah itu dalam kenyataanya pada Selasa.
Mengulas lanjut Salleh berkata, gabungan sebelum pilihan raya memberi kejelasan awal kepada pengundi tentang siapa yang akan memerintah jika gabungan menang.
“Ia mengelakkan perpecahan undi dan pertindihan calon, serta memudahkan pembentukan kerajaan yang stabil. Pertandingan mesra juga membolehkan lebih banyak ruang wakil sambil mengekalkan kesatuan gabungan.
“Namun, gabungan sebelum pilihan raya juga berdepan cabaran seperti kesukaran mencapai persetujuan tentang dasar dan pembahagian kerusi, risiko parti kecil hilang identiti, serta potensi konflik dalaman jika tidak dikendalikan dengan baik.
“Gabungan selepas pilihan raya pula membolehkan setiap parti menunjukkan kekuatan masing-masing terlebih dahulu, dengan rundingan dilakukan berdasarkan keputusan sebenar. Parti kecil juga berpeluang memainkan peranan penting sebagai “penentu kuasa”.
“Walau begitu, gabungan selepas pilihan raya turut membawa risiko. Pengundi mungkin rasa dikhianati jika parti bergabung dengan lawan, dan kerajaan yang terbentuk boleh menjadi tidak stabil. Keyakinan awam juga boleh terjejas jika keputusan akhir dianggap tidak mencerminkan kehendak rakyat,” kata Salleh.